Sarawak sasar bina satelit pertama, teroka kerjasama teknologi tinggi UK

Facebook
WhatsApp

BRISTOL: Sarawak mengorak langkah baharu dalam sektor teknologi tinggi apabila merancang untuk mereka bentuk dan menghasilkan satelit pertamanya melalui kerjasama strategik dengan rakan industri di United Kingdom (UK).

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, inisiatif tersebut akan diterajui oleh SMD Semikonduktor bagi membangunkan cip semikonduktor dan sistem bertaraf satelit.

“Langkah ini menandakan usaha Sarawak untuk muncul sebagai pemain bernilai tinggi dalam sektor semikonduktor, aeroangkasa dan teknologi angkasa global.

“Pembangunan satelit itu turut menyokong penggunaan data dan analitik bagi aplikasi dunia sebenar seperti pemantauan hutan, pemerhatian bumi, pengurusan bencana serta penjejakan karbon.

“Teknologi ini juga akan memperkukuh keupayaan data dan meningkatkan infrastruktur telekomunikasi, termasuk menyediakan sambungan berkelajuan tinggi dan latensi rendah ke kawasan luar bandar,” katanya.

RAKAMAN gambar kenangan pada Sesi Libat Urus Semikonduktor Sarawak yang dianjurkan bersama Universiti Bristol dan Taman Sains Bath.

Beliau berkata demikian semasa Sesi Libat Urus Semikonduktor Sarawak yang dianjurkan bersama Universiti Bristol dan Taman Sains Bath, di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengerusi SMD Semikonduktor, Wan Lizozman Wan Omar berkata, kerjasama antarabangsa amat penting dalam membangunkan keupayaan industri berteknologi tinggi.

“Pembinaan kapasiti dalam industri maju tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Kerjasama dengan institusi seperti Universiti Bristol membolehkan Sarawak mempercepat pembangunan kepakaran teknikal dan menembusi segmen bernilai tinggi.

“SMD turut aktif bekerjasama dengan agensi kerajaan UK serta pemain industri bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor negeri” ujarnya.

Untuk rekod, sesi libat urus tersebut menghimpunkan lebih 80 pembuat dasar, penyelidik dan pakar industri dari UK, selain menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara SMD Semikonduktor, Universiti Bristol dan Yayasan Sarawak. 

Inisiatif itu turut merangkumi program Ijazah Doktor Falsafah (PhD) selama empat tahun di bawah tajaan Yayasan Sarawak bagi melahirkan bakat dalam bidang teknologi maju, sekali gus menyokong aspirasi Sarawak menjadi hab teknologi dan inovasi serantau.

IPU Serian masih tertinggi, catat 241

KUCHING: IPD Serian merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Sarawak iaitu 241 setakat 8.00 pagi ini, berada dalam

Ronaldinho kembali buru gol ke-300

RAVENNA, Itali: Bekas bintang bola sepak Brazil, Ronaldinho, yang bersara daripada arena bola sepak pada 2015, mengumumkan kemunculan semula selepas