WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Isnin berkata, pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, umpama “pemain catur bertaraf dunia” bersama dengan Presiden Vladimir Putin serta Presiden Xi Jinping , dan menyifatkan dirinya yang paling sesuai berurusan dengan mereka.
Trump berkata demikian dengan alasan calon presiden Demokrat Joe Biden tidak layak untuk berurusan dengan pemain yang kuat itu, lapor agensi berita Yonhap.
“Putin, Presiden China Xi, Kim Jong Un, (Presiden Turki) Erdogan, mereka semua pemain catur bertaraf dunia,” kata Trump semasa melawat ke Wisconsin.
Trump berkata, beliau berjaya menangani pemimpin seperti itu.
“Menurut anda bagaimana dia akan melakukan rundingan, Biden, menentang China. Baiklah, tiada siapa yang buat macam mana yang saya telah buat dengan China, Rusia,” kata Trump. “Ingat kita juga akan berperang dengan Korea Utara.”
Trump dan Kim mengadakan sidang kemuncak pertama AS-Korea Utara pada Jun 2018, diikuti yang kedua di Vietnam pada Februari 2019.
Hubungan Washington-Pyongyang, bagaimanapun, terhenti sejak sidang kemuncak 2019 yang berakhir tanpa perjanjian.
Sementara itu, Parti Demokrat memulakan konvensyen kebangsaan empat hari bermula Isnin, di mana bekas Naib Presiden Biden dijangka menerima pencalonannya untuk pilihan raya presiden pada November.
Parti Republikan pula dijadualkan menganjurkan konvensyennya pada Jumaat. – Bernama