
SIMANGGANG: Khairul Ikhwan Ahmad Kamri muncul johan bagi kategori lelaki pada Pertandingan Hafazan Rakan Muda Ramadan Peringkat Bahagian Sri Aman bertempat di Masjid Al Amin, Taman Sri Jaya, petang semalam.
Dengan kejayaan itu, Khairul Ikhwan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM250, manakala Mohamad Amirul Amiruddin Mohd Jamil muncul naib johan dan membawa pulang wang tunai RM150, dan Amirul Putra Mohamad membawa pulang hadiah wang tunai RM100 ditempat ketiga.
Bagi kategori wanita pula, Putri Damia Hanna Harith Izwan muncul johan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM250, Nur Masturina Musa muncul naib johan dan membawa pulang wang tunai RM150 dan Nur Minhakina Musa membawa pulang wang tunai RM100 ditempat ketiga.
Peserta yang muncul johan pada kedua-dua kategori yang dipertandingkan ini akan mewakili Bahagian Sri Aman ke peringkat negeri yang akan diadakan esok di Bandaraya Kuching.
Dalam pada itu, program ini diadakan adalah bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara kalangan belia dan komuniti setempat dalam memupuk semangat dan juga mengembangkan potensi diri masing-masing dalam menyertai aktiviti keagamaan seperti ini.
Ia juga dapat menjadi salah satu ruang untuk para belia dalam membangkitkan semangat sepanjang Ramadan al-Mubarak dengan aktiviti dan program kerohanian.
Selain Pertandingan Hafazan Rakan Muda Ramadan, turut diadakan ialah Pertandingan Azan dan Iqamah serta Pertandingan Bercerita Kisah-Kisah Nabi.
Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman ini adalah dengan kerjasama rakan strategik seperti Jabatan Agama Islam Bahagian Sri Aman, Jawatankuasa Masjid Al Amin dan Kelab Belia Gemilang Bandar Sri Aman.
Juri-juri pertandingan hafazan ini ialah Abang Azman Abang Mohamed dan Siti Asmah Tahir Resah dari Pejabat Agama Islam Bahagian Sri Aman serta Lokman Hakim Mohd dari Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Sri Aman.
Majlis turut dihadiri oleh Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman, Mohd Israk Ismail, Pengerusi Masjid Al Amin Sri Jaya, Abdul Aman Abdullah dan Pengerusi Kelab Gemilang Bandar Sri Aman, Azrul Hafidz Ahmad.
Oleh Adi Safarman