KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyokong usaha Kementerian Pendidikan (KPM) memperkukuh keselamatan dan kebajikan murid, namun mahu pelaksanaan Aku Janji kepatuhan terhadap Polisi Perlindungan Murid diperhalusi.
KGBS berkata, Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) KPM Bil. 4 Tahun 2026 bertarikh 1 Julai 2026 itu penting bagi memastikan sekolah kekal sebagai institusi yang selamat, kondusif dan mesra murid.
Namun, katanya, keperluan guru menandatangani Aku Janji berkenaan menimbulkan kebimbangan kerana dikhuatiri memberi persepsi bahawa tanggungjawab dan liabiliti perlindungan murid diletakkan secara langsung ke atas guru secara individu.
“Guru perlu mempunyai garis panduan jelas, prosedur operasi teratur serta perlindungan institusi ketika melaksanakan tanggungjawab profesional.
“Guru juga tidak seharusnya berasa terlalu tertekan atau berhati-hati sehingga menjejaskan interaksi profesional, proses pengajaran dan pembelajaran serta tanggungjawab terhadap murid,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KGBS berkata, perlindungan murid dan kebajikan guru perlu dilihat sebagai satu ekosistem yang saling melengkapi.
Sehubungan itu, kandungan dan mekanisme pelaksanaan Aku Janji berkenaan perlu diteliti semula dengan mengambil kira pandangan warga pendidik serta kesatuan guru.
Menurutnya, pengukuhan sistem seharusnya merangkumi latihan, kesedaran, prosedur pelaporan, mekanisme intervensi dan sokongan pihak pengurusan, bukan bergantung semata-mata kepada Aku Janji individu.
Dalam pada itu, KGBS menyambut baik kesediaan Ketua Pengarah Pendidikan (KPPM) mengadakan sesi libat urus bersama wakil kesatuan guru dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara berkenaan.
Katanya, perkara itu dimaklumkan KPPM ketika sesi khas bersama warga Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh negara dan wakil kesatuan guru pada minggu lalu.
KGBS berharap sesi itu dapat dilaksanakan secara terbuka dan konstruktif dengan mengambil kira realiti tugas serta cabaran guru di sekolah.
“KGBS kekal komited bekerjasama dengan KPM memperkukuh sistem perlindungan murid, namun hak, kebajikan, keselamatan dan perlindungan profesional guru juga perlu diberikan perhatian sewajarnya.
“Sekolah yang benar-benar selamat ialah sekolah yang mampu melindungi murid tanpa mengabaikan guru, dengan sistem yang jelas, adil dan bertanggungjawab untuk semua pihak,” katanya.





