Ketua masyarakat perlu pantas lapor bencana, bantu mangsa – Penguang

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr Penguang Manggil mengadakan pertemuan dengan mangsa ribut dan menyertai taklimat daripada Jabatan Kebajikan dan Pejabat Daerah Marudi berkenaan bantuan yang akan disalurkan oleh kepada mangsa. Foto Jiku Juguong

MARUDI: Ketua masyarakat dan ketua kampung termasuk kapitan, ketua kampung serta tuai rumah perlu bertindak pantas melaporkan sebarang kejadian bencana alam kepada pihak bertanggungjawab bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera kepada mangsa.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan membantu mangsa ketika berdepan banjir, kebakaran atau bencana lain.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat kepada mangsa ribut yang melanda Marudi baru-baru ini.

MANGSA ribut di Marudi mendengar taklimat disampaikan Datuk Dr Penguang Manggil. Foto Jiku Juguong

Menurut Penguang, ketua masyarakat dan ketua kaum perlu turun padang membantu mangsa membuat laporan kepada agensi berkaitan termasuk Pejabat Daerah Marudi, Pejabat Kebajikan Masyarakat, Balai Polis serta Balai Bomba dan Penyelamat Marudi.

“Laporan perlu diisi dengan lengkap dan diserahkan kepada pihak bertanggungjawab dengan segera supaya proses pengurusan tidak mengambil masa lama dan bantuan dapat disalurkan secepat mungkin,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang baru-baru ini, sebanyak 113 rumah dan premis perniagaan di Marudi terjejas akibat ribut kencang.

PEGAWAI Kebajikan Marudi, Aziana Lasa memberi penerangan kepada mangsa-mangsa ribut cara mengisi borang bantuan. Foto Jiku Juguong

Kejadian itu mengakibatkan bumbung beberapa rumah tercabut selain menyebabkan kerosakan struktur lain.

Penguang berharap pemilik rumah yang terjejas mengemukakan laporan lengkap kepada Pejabat Daerah Marudi dan Pejabat Kebajikan Masyarakat secepat mungkin bagi membolehkan kedua-dua agensi berkenaan menyelaras serta menyalurkan bantuan kepada mangsa.

Sesi taklimat berkenaan diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Pemindahan Marudi.

Turut hadir, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Marudi (SAO), Reagan Edwin dan Pegawai Kebajikan Pejabat Kebajikan Daerah Marudi, Aziana Lasa.

Oleh Jiku Juguong