SKRANG, 11 Oktober: Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi menegaskan kepentingan memperkasakan peranan Ketua Kaum dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang sebagai penghubung utama antara masyarakat dan kerajaan.
Menurut beliau, Ketua Kaum dan JKKK memainkan tanggungjawab penting dalam memastikan setiap isu, keperluan serta kebajikan penduduk dapat disalurkan dengan berkesan kepada pihak berwajib, sekali gus membantu mempercepatkan pelaksanaan pembangunan di kawasan luar bandar.
“Ketua Kaum dan JKKK merupakan barisan hadapan yang sentiasa dekat dengan masyarakat.
“Peranan mereka perlu diperkukuh agar setiap agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Memperkasakan Tugas dan Peranan Ketua Kaum dan JKKK Rumah Panjang yang diadakan di Rumah Thomas Jepit, Pelasok, Skrang, semalam.
Dalam majlis berkenaan, Roy turut mengumumkan beberapa peruntukan bagi menyokong pembangunan dan aktiviti komuniti setempat, iaitu RM150,000 melalui Projek Mesra Rakyat (PMR) 2027, RM20,000 kepada JKKK serta RM8,000 kepada Biro Wanita.
Peruntukan tersebut diharap dapat membantu meningkatkan kemudahan, memperkukuh pengurusan komuniti serta memperkasa penglibatan wanita dalam pelbagai program pembangunan masyarakat.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Tuai Rumah Thomas Jepit, barisan Ketua Kaum, JKKK, Biro Wanita serta seluruh warga Pelasok atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan program tersebut.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Mikai Mandau dan Pegawai Daerah Lubok Antu, Akoi Ejau.
Oleh Adi Safarman





