SARIKEI: Tahun Ular merupakan tahun istimewa bagi kaum Cina, kata Wong Siew Sie, 45.
Siew Sie yang juga seorang guru sekolah menengah berkata, kalau mengikut kalender Cina, terdapat 12 ziodak.
“Tahun ini adalah tahun ular. Bagi saya, tahun ini adalah satu tahun yang amat sesuai bagi orang yang menjalankan perniagaan, sebab sifat ular itu ia dikaitkan dengan sifat kebijaksanaan dan ketelitian.
“Dia boleh menyusun strategi yang sesuai dalam bidang perniagaan…senang untuk memperoleh keuntungan.
“Selain itu, saya boleh kaitkan juga dengan pelajar dalam bidang pendidikan, tahun ular ini saya rasa mereka boleh menyusun strategi yang sesuai dalam pelajaran.
“Bagi individu yang lahir pada tahun ular, dia ada sifat kerajinan, ketelitian dan kebijaksanaan,” katanya ketika ditemui media di Pusat Inovasi Sarikei (SIC), hari ini.
Sebelum dan semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) menurut pandangan peribadi Hwang Lee Hsiu, 41, kaum Cina masih mengikut tradisi lama.
Lee Hsiu yang juga adalah seorang guru sekolah menengah berkata, kaum Cina telah diajar secara turun-temurun tentang adat dan pantang larang semasa TBC.
“Jadi, biasanya yang selalu kita dengar ialah sebelum TBC kita akan bersihkan rumah…dan semasa atau sebelum TBC, biasanya kita ada pantang larang sendiri iaitu tidak boleh pecahkan barangan kaca atau pinggan mangkuk di rumah…itu merupakan tanda yang tidak baik.
“Untuk kaum Cina, biasanya kita akan mengutamakan kekayaan dan kesejahteraan keluarga. Jadi, makan malam bersama keluarga merupakan satu kewajipan… kita wajib balik untuk makan bersama sebelum TBC,” katanya.
Katanya, untuk hari pertama TBC, mengikut pantang larang kaum Cina, adalah tidak dibenarkan untuk menyapu dan kalau terpaksa, sampah perlu disapu dari pintu utama ke dalam rumah.
“Kita buat macam ini supaya kita tidak menolak kekayaan yang akan datang ke rumah kita.
“Selain itu, kita pentingkan hubungan keluarga. Pada hari TBC pertama dan kedua, kita akan berkunjung ke rumah saudara mara dulu sebelum berkunjung ke rumah kawan,” katanya.
Berkenaan tahun ular, katanya, ular adalah haiwan yang licik.
“Ia jenis yang sentiasa cuba untuk melindungi diri. Jadi, dengan sifat ular ini, dia akan cuba cari jalan untuk mempertahankan diri dan jika tidak mengganggunya, dia tidak akan mengganggu kamu,” katanya.
Oleh Earl Anek