DUA kesilapan penjaga gol, Asri Muhamad telah ‘membunuh’ cabaran PDRM FC sekali gus menyebabkan salah satu faktor mereka tumpas 2-1 kepada Kuching City FC dalam aksi Liga Premier Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras, malam semalam.
Pengendali PDRM FC, Mat Zan Mat Aris mengakui bukan satu tetapi dua kesilapan penjaga gawang itu lakukan dan kedua-duanya dihukum oleh pasukan lawan.
Katanya kesilapan paling ‘ngeri’ berlaku pada minit ke-4 perlawanan, yang mana Asri telah terlepas bola dari tangannya ketika cuba melakukan balingan dan bola singgah tepat di kaki Adam Shreen yang terus menolak masuk.
Dan pada awal separuh masa kedua satu lagi kesilapan, Asri yang gagal menangkap kemas bola terlepas dan Kuching City menambah satu lagi gol menerusi Hudson Dias pada minit ke-47.
Mat Zan tidak mampu memberikan komen lebih lanjut kerana baginya apa yang berlaku sangat sukar diduga dan ia sudah berlaku.
Beliau menyatakan bahawa dua gol Kuching City FC itu adalah berpunca daripada kesilapan penjaga gol mereka.
“Gol pertama minit ke-3 pada separuh masa pertama dan gol kedua pada minit ke-47 awal separuh masa kedua…kalau kita tengok itu adalah kesilapan penjaga gol.
“Tetapi secara keseluruhan tanpa melihat kesilapan pada penjaga gol, para pemain telah mencuba mencari gol. Dan cara kita main pun, saya rasa baik juga.
“Kita ada upaya mencipta peluang. Kalau lihat terutamanya pada minit-minit akhir, Lazarus Kaimbi memiliki peluang terbuka untuk menjaringkan gol. Tetapi kita tak dapat menjaringkan gol penyamaan.
“Jadi ini satu kekecewaan juga bagi saya,” ujarnya.
Mat Zan turut menyatakan Asri perlu menerima hakikat bahawa dia melakukan kesilapan awal dan sambil berharap agar tidak mengulangi kesilapan seperti itu pada perlawanan akan datang.
Oleh ADI SAFARMAN