
SARIKEI: Sungai terus memainkan peranan penting sebagai nadi kehidupan masyarakat khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, justeru aspek keselamatan pengguna serta pemeliharaan kebersihan sungai perlu sentiasa diberi perhatian.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, sungai bukan sekadar sumber air dan aset semula jadi, malah menjadi laluan pengangkutan utama yang menghubungkan komuniti, menyokong aktiviti ekonomi serta memudahkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Katanya, sejak dahulu lagi sungai telah menjadi nadi pembangunan masyarakat di negeri ini apabila banyak penempatan dibangunkan di sepanjang sungai yang berfungsi sebagai laluan utama pergerakan penduduk, perdagangan dan hubungan antara komuniti.

“Keselamatan sungai bukan sekadar tanggungjawab kerajaan atau pengusaha bot semata-mata. Ia adalah tanggungjawab bersama.
“Setiap individu yang menggunakan sungai perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan keselamatan diri dan keluarga sentiasa diutamakan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang ketika berucap pada Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai.
Program tersebut merupakan anjuran Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) di Dewan Kampung Selalang, hari ini.
Len Talif berkata, keselamatan pengguna sungai dan penjagaan alam sekitar perlu bergerak seiring kerana kedua-duanya mempunyai kesan langsung terhadap kesejahteraan masyarakat dan kelestarian pembangunan negeri.
“Pada masa yang sama, kita juga perlu memberi perhatian kepada kebersihan sungai. Sungai yang bersih bukan sahaja memberikan persekitaran yang sihat dan selesa, malah membantu memelihara ekosistem semula jadi yang menjadi sumber kehidupan masyarakat setempat.
“Pembuangan sampah ke dalam sungai bukan sahaja mencemarkan alam sekitar tetapi boleh menjejaskan kualiti air dan mengganggu hidupan akuatik,” katanya.
Katanya, kerajaan Sarawak sentiasa memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan pengangkutan sungai menerusi pelbagai inisiatif termasuk pembangunan infrastruktur sungai, penyediaan kemudahan keselamatan navigasi, pemasangan papan tanda amaran serta pelaksanaan program pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat.
“Sungai yang bersih dan terpelihara turut mempunyai nilai ekonomi, sosial dan pelancongan yang tinggi serta berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat.
“Keselamatan di sungai tidak boleh dipandang ringan. Walaupun kemudahan dan infrastruktur keselamatan terus dipertingkatkan oleh kerajaan, sikap pengguna tetap menjadi faktor utama dalam menentukan tahap keselamatan.
“Oleh itu saya menyeru semua pengguna sungai agar sentiasa memakai jaket keselamatan, mematuhi had muatan yang ditetapkan serta memastikan bot berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan,” katanya.
Beliau turut menyerahkan 30 jaket keselamatan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Selalang sebagai simbol komitmen kerajaan dan LSS terhadap keselamatan pengguna sungai.
“Jaket keselamatan bukan sekadar peralatan keselamatan, tetapi merupakan pelindung nyawa.
“Kita tidak mahu melihat kehilangan ahli keluarga atau insan tersayang akibat kecuaian yang boleh dielakkan,” katanya lagi.
Turut hadir, Pengerusi LSS yang juga ADUN Daro Safiee Ahmad, wakil Residen Sarikei Ainul Yazmin Zaini, wakil Pegawai Daerah Sarikei Gerald Grino Apil, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Mohd Rahimi Dahlan, Controller LSS Leftenan Kolonel Ding Tiew Wong (Bersara), dan Penghulu Mohd Affendi Dollah.
Oleh Earl Anek