Kes Zayn Rayyan: Mahkamah Tinggi tetapkan 19 Ogos ini dengar rayuan Ismanira

Facebook
WhatsApp
MAHKAMAH Tinggi di sini hari ini menetapkan 19 Ogos depan bagi pendengaran rayuan Ismanira Abdul Manaf (kanan) untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun dijatuhkan terhadapnya kerana mengabaikan anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, tiga tahun lepas. Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 19 Ogos depan bagi pendengaran rayuan Ismanira Abdul Manaf untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun dijatuhkan terhadapnya kerana mengabaikan anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, tiga tahun lepas. 

Pada tarikh yang sama, mahkamah akan turut mendengar rayuan silang pihak pendakwaan berhubung hukuman dijatuhkan kepada Ismanira, 31, sebelum ini.

Hakim Noor Hisham Ismail menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan pihak pendakwaan perlu memfailkan hujahan balas lanjut yang dikemukakan pihak pembelaan Ismanira.

Peguam Haresh Mahadevan, yang mewakili Ismanira, tidak membantah sekiranya mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi pendengaran rayuan itu.

Sebelum ini, petisyen rayuan berkenaan difailkan pihak pembelaan pada 5 Januari 2026 menerusi Tetuan Haresh Mahadevan & Co selepas tidak berpuas hati terhadap sabitan serta keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Dr Syahliza Warnoh pada 31 Oktober 2025. 

Syahliza membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan memerintahkan Ismanira menjalani hukuman penjara serta-merta selain menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan cagaran RM3,000.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2025 menolak permohonan Ismanira untuk menangguhkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan terhadapnya kerana mengabaikan Zayn Rayyan.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendapati tiada keadaan khas yang membolehkan mahkamah membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan dalam kes berkenaan.

Ismanira turut diarah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.- Bernama