JAKARTA: Indonesia mencatatkan 3,737 kes positif baharu Covid-19 dalam
tempoh 24 jam, menjadikan kes positif keseluruhan di republik itu kini 210,940 kes.
Berdasarkan data disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, www.covid19.go.id, semalam sebanyak 88 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian keseluruhan kini 8,544 orang.
Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kes positif keseluruhan tertinggi iaitu
51,635 kes, dengan tambahan 964 kes positif baharu dalam tempoh 24 jam
lalu.
Gabenor Jakarta Anies Baswedan pada Rabu lalu, mengumumkan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) akan dikuatkuasakan kembali bermula 14 Sept ini, dengan membatalkan aktiviti sosio ekonomi yang
dibenarkan beroperasi pada fasa transisi PSBB.
Jakarta menguatkuasakan PSBB bermula 31 Mac lalu, sebelum membenarkan beberapa aktiviti sosio ekonomi kembali beroperasi menerusi fasa transisi PSBB pada 5 Jun lalu.
Menurut data yang dikeluarkan pemerintah Jakarta, sebanyak 67 hospital di Jakarta kini di tahap lebih 70 peratus penggunaan peralatan, katil serta
kemudahan perubatan, dan akan mencapai tahap maksima kapasitinya pada 17 September ini, sekiranya trend kes positif baharu di Jakarta yang secara puratanya hampir 1,000 kes setiap hari sejak akhir Ogos lalu, berterusan berlaku.
Sementara itu, provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah keseluruhan
kematian tertinggi di Indonesia iaitu 2,717 orang, dengan 26 lagi kematian
dalam tempoh 24 jam lalu.
Sementara itu, Ikatan Dokter Indonesia (IDI) dalam satu kenyataan menyatakan, seramai 109 doktor di Indonesia telah terkorban akibat Covid-
19.
Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian doktor tertinggi akibat
pandemik itu iaitu seramai 29 orang, diikuti Sumatera Utara (20 orang),
Jakarta (13) dan selebihnya di beberapa wilayah lain di Indonesia.- Bernama