KUCHING: Jumlah kerugian membabitkan lima kes penipuan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini mencecah RM1,136,842.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata, jumlah kerugian itu menunjukkan trend meningkat, berbanding enam kes tetapi kerugian RM77,328.96 pada tempoh sama tahun lalu.
“Modus operandi yang paling biasa ialah suspek mendakwa nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) dihantar kepada mangsa secara tidak sengaja dan meminta mangsa membacakan nombor TAC.
“Suspek mendakwa mereka mahukan nombor TAC kerana ingin mengemaskinikan sistem akaun mangsa dan mengesahkan dengan mangsa mengenai penghantaran syarikat perkhidmatan kurier. Suspek akan menggunakan beberapa nombor sebagai pukau untuk menipu mangsa,” katanya.
Setakat ini, polis telah mendakwa enam suspek di mahkamah mengikut Seksyen 37(1) ordinan kesalahan kecil Sarawak 1958.
Ahsmon menasihatkan orang ramai untuk menghubungi pusat pasukan tindak balas Penipuan Kebangsaan (NSRC) di 997 berkaitan penipuan.
Oleh Connie Chieng