MANCHESTER, England: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata beliau gembira perbicaraan kelab yang lama ditunggu-tunggu terhadap 115 pertuduhan yang dibawa oleh Liga Perdana akan bermula Isnin ini.
City berdepan 80 pelanggaran peraturan kewangan antara 2009 dan 2018, selain 35 lagi kegagalan untuk bekerjasama dengan penyiasatan Liga Perdana.
Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu didakwa gagal memberikan maklumat kewangan yang tepat antara 2009 dan 2018, termasuk hasil daripada penaja dan butiran gaji pengurus dan pemain.
City menafikan sekeras-kerasnya sebarang salah laku dan Guardiola menyokong pihak atasannya apabila diasak mengenai pertuduhan pada masa lalu.
“Akan bermula tidak lama lagi dan semoga selesai tidak lama lagi,” kata Guardiola mengenai pendengaran kes itu pada sidang media hari ini menjelang kunjungan Brentford ke Etihad.
“Saya menantikan keputusan itu. Saya gembira ia akan bermula Isnin ini. Saya tahu akan ada lebih banyak khabar angin, pakar baharu mengenai hukuman.
“Kita akan lihat. Saya tahu apa yang mereka tunggu, apa yang mereka jangkakan. Saya tahu daripada pembacaan saya selama bertahun-tahun. Setiap orang tidak bersalah hingga dibuktikan bersalah. Jadi kita tunggu dan lihat.”
Jika didapati bersalah atas sesetengah atau semua pertuduhan, City berdepan pemotongan mata yang banyak serta kemungkinan disingkirkan daripada EPL.
Pendengaran kes itu dijangka berakhir sekurang-kurangnya dua bulan dengan keputusan mengenainya dijangka pada 2025. – AFP