
KOTA KINABALU: Kes denggi seluruh negara meningkat 20.7 peratus kepada 33,367 kes setakat semalam atau Minggu Epidemiologi 23, berbanding 27,640 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata situasi di Sabah lebih membimbangkan apabila negeri itu mencatatkan lonjakan drastik sebanyak 50.4 peratus dengan 2,866 kes dilaporkan berbanding hanya 1,905 kes bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Beliau berkata lima daerah di Sabah dikenal pasti sebagai penyumbang kes tertinggi di negeri berkenaan iaitu Kota Kinabalu, Kota Marudu, Tawau, Sandakan, Penampang, dan Putatan.
“Kita tahu lonjakan ini berada dalam ramalan kitaran pusingan jangkitan yang berlaku setiap empat hingga lima tahun, tetapi kita perlu kekal waspada dalam berdepan situasi ini,” katanya kepada pemberita di Menggatal di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Sambutan Hari Denggi ASEAN, Hari Malaria Sedunia dan Gotong Royong Mega Peringkat Kebangsaan sempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2026 di Dewan Masyarakat Manggatal di sini hari ini.
Dzulkefly berkata selain faktor kitaran pusingan, pihak kementerian turut mengesan bahawa peningkatan kes ini dipengaruhi perubahan subvarian virus denggi yang kini didominasi subvarian DEN-3.
Bagi mendepani cabaran itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) memperkenalkan pendekatan strategik baharu berasaskan pendekatan Behavioral Insights (BI) menerusi program Komuniti Bebas Denggi (Kombat).
Beliau berkata KKM membawa beberapa pendekatan perubahan inisiatif terutamanya dalam konteks hari ini menggunakan pendekatan BI yang merupakan Behavioral Economics yang melihat perubahan tingkah laku manusia boleh didorong ke arah perubahan positif.
“The nudging strategy untuk menjadikan manusia itu dapat berubah. Dia tahu tapi dia tak nak berubah, jadi literasi sahaja tidak cukup. Kita izinkan bagaimana untuk mereka berubah dengan kita kerajaan sendiri, pusat dan juga kerajaan negeri memberikan pendekatan,” katanya.
Program Kombat berkenaan pula katanya bertumpu kepada tiga strategi utama iaitu intervensi persekitaran, pemerkasaan komuniti, serta penglibatan whole-of-society termasuk pengukuhan pengawasan sains entomologi. – Bernama