
KUCHING: Dua peniaga mengalami kecederaan ringan selepas sebuah kereta merempuh premis perniagaan di Rock City Cafe pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Polis (ACP) Alexson Naga Chabu berkata kemalangan yang berlaku kira-kira 10.50 pagi itu melibatkan sebuah kenderaan yang dipandu lelaki tempatan berusia 84 tahun.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu terbabit sedang mengundurkan kenderaan untuk keluar dari petak parkir sebelum dipercayai tertekan pedal minyak sehingga menyebabkan hilang kawalan terhadap kenderaan.
“Kenderaan itu kemudian melanggar peralatan dapur milik vendor serta dua peniaga yang berada di dalam premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa merupakan seorang lelaki berusia 68 tahun dan seorang wanita berusia 62 tahun yang mengalami kecederaan ringan serta menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.
Bagaimanapun, pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Kaedah 10 LN166/59 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Oleh Connie Chieng