RIYADH: China Railway Construction Corporation (CRCC) semalam mengumumkan bahawa ia telah menyelesaikan operasi haji 2024 bagi Laluan Metro Al Mashaaer Al Mugaddassah di kota Makkah, Arab Saudi.
Sepanjang tujuh hari, sebanyak 2,206 kereta api telah dihantar, menawarkan khidmat kepada 2.094 juta penumpang, menurut kenyataan CRCC seperti yang dilaporkan oleh Xinhua.
Laluan Metro Al Mashaaer Al Mugaddassah beroperasi selama tujuh hari setahun, digunakan secara eksklusif sebagai kereta api ulang-alik untuk jemaah antara tempat suci di Makkah bagi mengurangkan kesesakan semasa haji.
Ini menandakan tahun ke-10 CRCC berjaya menguruskan operasi haji, tambah kenyataan itu.
Laluan Metro Al Mashaaer Al Mugaddassah yang memulakan operasi pada 2010, bukan sahaja merupakan kereta api ringan pertama Arab Saudi tetapi juga kereta api ringan pertama yang dibina oleh syarikat China di Timur Tengah, kata CRCC.
“Lebih sedekad yang lalu, tempat ini adalah padang pasir. Kini, kami telah meninggalkan laluan ziarah yang mudah untuk umat Islam di seluruh dunia,” kata Zhang Long, pengurus projek laluan metro, sambil menambah bahawa projek itu adalah bukti komitmen syarikat China terhadap pembinaan bersama Berkualiti Tinggi Inisiatif Jalur dan Laluan.
Kementerian Kesihatan Arab Saudi semalam, juga mengumumkan bahawa tiada wabak penyakit atau ancaman lain kepada kesihatan awam semasa musim haji kali ini, walaupun terdapat jumlah jemaah yang besar dan cabaran yang ditimbulkan oleh suhu tinggi.
Menteri Kesihatan Fahd Abdul Rahman Al-Jalajel secara khusus mengiktiraf saranan Jawatankuasa Haji Pusat agar jemaah haji mengelak melaksanakan ibadah semasa suhu puncak, yang menyumbang secara signifikan dalam menjaga kesihatan jemaah dan mengurangkan kecederaan akibat tekanan haba. – Bernama – Xinhua