MIRI: Kerajaan Sarawak akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk membantu masyarakat Penan di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jawatankuasa tersebut akan melibatkan wakil-wakil rakyat dan bertujuan untuk merangka dasar bagi menyokong masyarakat Penan, seperti yang dimohon melalui ketua-ketua kaum mereka.
“Saya akan membentuk satu jawatankuasa di peringkat negeri bersama dengan wakil-wakil rakyat untuk melihat dan mencari jalan bagaimana kita hendak membuat satu dasar bagi membantu masyarakat Penan seperti mana dimohon oleh kaum Penan melalui ketua-ketua masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis penyerahan memorandum sokongan pembangunan komuniti Penan kepada kerajaan Sarawak di Lapangan Terbang Antatabangsa Miri petang tadi.
Menjawab salah satu permintaan ketua kaum Penan, Abang Johari berkata bahawa kerajaan akan memastikan keterlibatan semua kaum terutama sekali anak Sarawak dalam sektor perkhidmatan awam selari dengan dasar Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang berprinsipkan keterangkuman.
“Tadi Pemanca kata kalau boleh banyak orang Penan masuk ke dalam perkhidmatan awam, melalui PCDS 2030, ia ada satu perkataan inklusif yang bermaksud keterangkuman.
“Bermakna semua anak Sarawak yang harus kita bantu dan pada 2026, kita juga akan memberi pendidikan percuma kepada semua anak Sarawak,” katanya.
Majlis itu dihadiri oleh 50 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Penan dari Miri, Telang Usan, Marudi dan Beluru.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus.