
ENGKILILI: Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan RM50,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Langkang Ulu bagi memperkasa pembangunan ekonomi komuniti menerusi projek tanaman sawit yang diusahakan penduduk setempat.
Peruntukan itu diumumkan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika merasmikan Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak 2026 di Rumah Kennedy, Langkang Ulu di sini, hari ini.
Majlis Ngiling Tikai merupakan tradisi masyarakat Iban yang menandakan berakhirnya sambutan Gawai Dayak serta menjadi lambang kesyukuran atas rezeki dan hasil tuaian di samping memperkukuh perpaduan dan memelihara warisan budaya masyarakat.

Berucap pada majlis itu, Uggah berkata bantuan berkenaan bertujuan merangsang usaha komuniti Langkang Ulu untuk terus mengembangkan projek tanaman sawit yang memberi manfaat kepada penduduk.
Beliau berkata, kejayaan projek tanaman sawit yang diusahakan JKKK Langkang Ulu membuktikan bahawa inisiatif ekonomi yang dirancang dengan baik mampu meningkatkan pendapatan serta taraf hidup masyarakat luar bandar.

“Peruntukan ini diharap menjadi pemangkin untuk memperluaskan lagi projek tersebut supaya manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai penduduk, sekali gus memperkukuh pembangunan ekonomi komuniti,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan Sarawak akan terus menyokong pelbagai inisiatif pembangunan komuniti yang mampu memperkasa ekonomi luar bandar, mewujudkan lebih banyak peluang menjana pendapatan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat secara mampan.
Uggah turut menyifatkan pendekatan pembangunan berasaskan penyertaan komuniti sebagai antara kaedah berkesan dalam memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh penduduk luar bandar.

Sementara itu, JKKK Langkang Ulu sebelum ini dinobatkan sebagai penerima Anugerah SMART Komuniti Perak 2024 hasil kejayaan melaksanakan projek tanaman sawit menerusi Program Sahabat Komuniti Desa (SKOD).
Pengiktirafan itu memperlihatkan keupayaan komuniti luar bandar memperkasa ekonomi setempat melalui kerjasama erat, pengurusan yang berkesan serta penglibatan aktif masyarakat dalam menjayakan projek pembangunan.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Ahli Dewan Negara Senator Susan Chemerai Anding, serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa.
Oleh Adi Safarman