KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menyalurkan bantuan sebanyak RM50,000 kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh yang berlaku di Kampung Lereng Bukit, Miri semalam.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bantuan yang diberikan ini adalah usaha kerajaan Sarawak untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa.
“Kami ingin mengucapkan takziah kepada keluarga lima mangsa yang terlibat dalam nahas tanah runtuh di Miri semalam.
“Bagi mangsa yang kehilangan nyawa, kita akan beri RM10,000 bagi setiap mangsa kepada ahli keluarga mangsa,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media semasa mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Batu Kawa di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah memberitahu, kementeriannya akan menguruskan sesi kaunseling kepada keluarga mangsa.
“Kita mengetahui bahawa ia merupakan satu musibah dan keadaan yang berat bagi keluarga mangsa, maka di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, kami akan menawarkan khidmat kaunseling kepada mereka,” katanya pada sidang media sama.
Dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri pada 2.58 pagi semalam, lima mangsa terkorban iaitu Sazarena Arabi, 41, Fatimah Dawi, 71, Irsyad Syairah, 16, Nur Raisyah Syahirah, 8, dan Nur Rania Syafiqah, 11.
Semua mangsa tinggal serumah dan dua lagi penghuni rumah berkenaan iaitu Nur Irsalina Syairah, 17, mengalami kecederaan patah kaki kanan dan sedang menerima rawatan, manakala Arabi Samsudin, 71, tidak mengalami kecederaan.