BINTULU: Sarawak terus memperkukuh agenda transformasi sektor pertanian dengan memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi, inovasi serta penyelidikan bagi memastikan pembangunan pertanian mampan dan keselamatan makanan jangka panjang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sektor pertanian hari ini bukan lagi sekadar menghasilkan makanan, sebaliknya menjadi pemacu kepada keselamatan makanan, penciptaan pekerjaan berkualiti, pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan generasi akan datang.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kongres Pertanian Mampan dan Keselamatan Makanan 2026 (COSAFS 2026) yang berlangsung di sini, hari ini.

Menurutnya, menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), keselamatan makanan merupakan antara parameter penting yang diberi perhatian oleh kerajaan negeri.
“Visi kita adalah untuk membangunkan sektor pertanian yang lebih mampan, berteknologi tinggi dan berdaya saing melalui inovasi, transformasi digital, bioteknologi, kecerdasan buatan (AI), automasi, integrasi tenaga serta pengurusan sumber secara bertanggungjawab,” katanya.
Abang Johari berkata perubahan dalam sektor pertanian bukan hanya berkaitan peningkatan produktiviti, tetapi turut melibatkan usaha menghasilkan makanan secara mampan sambil melindungi alam sekitar dan memastikan sumber semula jadi dipelihara untuk generasi akan datang.
Beliau berkata Sarawak kini berada pada kedudukan strategik untuk muncul sebagai hab makanan serantau berasaskan inovasi dan teknologi pertanian.
“Sarawak diberkati dengan sumber semula jadi yang luas, biodiversiti yang kaya, potensi tenaga serta ekosistem pertanian yang pelbagai. Kelebihan ini menjadi asas kukuh untuk membangunkan ekosistem pertanian dan ekonomi hijau,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan, akademia, industri dan masyarakat dalam menangani cabaran keselamatan makanan yang semakin kompleks.
Katanya, perkongsian ilmu, pertukaran penyelidikan serta pengalaman praktikal amat penting bagi menghasilkan penyelesaian baharu dalam sektor pertanian.
“COSAFS 2026 menyediakan platform penting untuk kerjasama antara disiplin, dialog dasar, pertukaran teknologi serta jaringan antarabangsa. Penyelesaian yang dibincangkan dalam kongres ini akan mempengaruhi penyelidikan masa depan, memperkukuh industri dan memberi impak kepada ekosistem ekonomi yang lebih luas,” katanya.
Abang Johari turut menyentuh mengenai kepentingan pembangunan modal insan dalam menyokong pertumbuhan sektor pertanian negeri, termasuk memperkasakan pendidikan dalam bidang sains hayat, bioteknologi dan bidang berkaitan
Beliau berkata penggunaan data dan teknologi akan menjadi elemen penting dalam memastikan pengeluaran makanan lebih cekap serta memenuhi keperluan masyarakat dan dunia.
“Data merupakan penyumbang penting untuk kita berkembang melalui inovasi dan seterusnya menghasilkan pengeluaran makanan yang lebih cekap untuk masyarakat serta dunia,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa perubahan iklim merupakan cabaran global yang memerlukan pendekatan inovatif daripada semua negara.
“Setiap negara perlu mengambil kira cabaran perubahan iklim dan menggunakan pendekatan inovasi bagi menyelesaikan isu global ini. Inovasi perlu menjadi teras yang bertanggungjawab serta memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat,” katanya.
Beliau yakin hasil perbincangan, penerbitan serta idea baharu yang lahir daripada COSAFS 2026 mampu memberi sumbangan kepada keselamatan makanan global selain menyokong pembangunan ekonomi mampan.
Pada majlis sama, Abang Johari turut mengalu-alukan penyertaan peserta antarabangsa dari pelbagai negara termasuk China, Hong Kong, Amerika Syarikat, Singapura, Kanada, Jepun, Indonesia dan Australia.
Beliau berkata kehadiran peserta antarabangsa membuktikan kepentingan COSAFS 2026 sebagai medan perkongsian ilmu dan pengalaman dalam memperkukuhkan sektor pertanian masa hadapan.
Oleh Faizah Muzidi





