PETRA JAYA: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencadangkan penubuhan kampusnya di Sarawak sebagai langkah strategik untuk memperkukuh pembangunan modal insan bernilai tinggi di rantau ini.
Cadangan tersebut dikemukakan dalam kunjungan hormat delegasi UIAM yang diketuai Rektor UIAM, Datuk Osman Bakar, kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Astana Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam kunjungan tersebut, delegasi UIAM membentangkan kerangka cadangan penubuhan kampus UIAM di Sarawak yang menggariskan usaha mewujudkan sebuah kampus tetap sebagai pusat pembangunan pendidikan tinggi dan modal insan di negeri ini.
Cadangan itu bukan sahaja melibatkan pembinaan infrastruktur baharu, malah bertujuan membangunkan ekosistem akademik UIAM di Sarawak dengan memanfaatkan rangkaian antarabangsa serta nilai teras universiti bagi melahirkan tenaga mahir berimpak tinggi.
Melalui inisiatif tersebut, UIAM berhasrat menjadikan Sarawak sebagai hab kecemerlangan pendidikan tinggi yang menggabungkan jenama global universiti dengan keunikan budaya, sistem perundangan dan landskap sosioekonomi negeri.
Antara fokus utama yang diketengahkan ialah mewujudkan kampus fizikal yang menghubungkan masyarakat Sarawak dengan komuniti di rantau Borneo, termasuk Sabah, Brunei dan Kalimantan, melalui rangkaian pembelajaran bertaraf global.
Penubuhan kampus UIAM di Sarawak dijangka membuka lebih banyak peluang kepada rakyat negeri ini untuk mengakses pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa tanpa perlu melanjutkan pengajian di Semenanjung. Pada masa yang sama, inisiatif tersebut dijangka mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab pendidikan dan pembangunan bakat bertaraf global.
Turut hadir dalam kunjungan hormat itu ialah beberapa pegawai kanan UIAM dan wakil kerajaan negeri.





