Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kerajaan Sarawak rancang penempatan semula mangsa hakisan, banjir di Kapit
  • TEMPATAN

Kerajaan Sarawak rancang penempatan semula mangsa hakisan, banjir di Kapit

Utusan Sarawak 4 hours ago
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika lawatan tapak di Lapangan Terbang Lama hari ini.

KAPIT: Kerajaan Sarawak merancang membangunkan kawasan penempatan semula bagi penduduk kampung Melayu yang terjejas akibat hakisan tebing sungai dan banjir di Kapit, selain mewujudkan penempatan khas untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tapak Lapangan Terbang Lama dikenal pasti sebagai lokasi sesuai bagi projek penempatan semula kerana kedudukannya berhampiran dengan kampung sedia ada.

“Saya telah dibawa melawat dua lokasi yang dikenal pasti dalam perancangan untuk memperluaskan pembangunan Kapit.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika lawatan tapak di Lapangan Terbang Lama hari ini.

“Salah satu kawasan akan dijadikan tapak penempatan semula bagi penduduk kampung Melayu yang terjejas akibat hakisan tebing sungai serta masalah banjir,” katanya ketika ditemui pemberita pada lawatan tapak di Lapangan Terbang Lama di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendekatan itu bukan sesuatu yang baharu memandangkan kerajaan negeri mempunyai pengalaman membangunkan penempatan lebih selamat dan terancang di beberapa lokasi lain.

“Perancangan seperti ini bukan sesuatu yang baharu kerana kerajaan telah melaksanakannya di beberapa lokasi lain, termasuk di Kampung Datu, Sibu dan Darul Hana, Kuching.

“Kita sudah mempunyai kaedah serta pengalaman dalam membangunkan penempatan yang lebih selamat dan mempunyai potensi pembangunan pada masa depan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut meluluskan sebuah kawasan khas untuk pembangunan perumahan veteran ATM sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan bekas anggota tentera.

Menurutnya, kedua-dua cadangan pembangunan itu akan dikemukakan kepada Majlis Perancangan Negeri (MPN) untuk pertimbangan selepas penilaian di tapak selesai dilaksanakan.

Abang Johari berkata, pembangunan berkenaan dijangka mengubah landskap Kapit dengan sokongan infrastruktur baharu, termasuk cadangan pembinaan jalan bertingkat yang menghubungkan Pekan Kapit dengan kawasan pembangunan baharu.

“Saya yakin pembangunan ini akan mengubah landskap Kapit. Saya telah berbincang dengan pihak arkitek supaya reka bentuk pembangunan baharu mengambil inspirasi daripada bandar-bandar di Norway,” katanya.

Beliau berkata, cadangan itu dibuat berdasarkan pandangan seorang profesor dari Norway yang melihat Kapit mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai bandar pintar tanpa mengabaikan elemen hijau serta kelestarian alam sekitar.

Turut hadir, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Oleh Tarani Lanting

Continue Reading

Previous: Kapit nadi tenaga hijau, jadi tonggak aspirasi Sarawak sebagai ‘hab tenaga rantau’
Next: BKJ Academy terus cemerlang, lahirkan bakat sukan muda berpotensi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.