LUBOK ANTU: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh usaha mempercepat pengeluaran surat hak milik tanah kepada pemilik yang layak, khususnya melibatkan kawasan pembangunan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA), bagi memastikan hak pemilikan tanah diiktiraf secara sah di sisi undang-undang.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata pentadbiran tanah yang sistematik, telus dan teratur sentiasa menjadi keutamaan kerajaan kerana tanah bukan sahaja merupakan aset ekonomi, malah sumber kehidupan, warisan keluarga serta identiti masyarakat yang perlu dipelihara.
Menurut beliau, proses pengenalpastian, pengukuran, pengesahan dan pendaftaran tanah dilaksanakan secara teliti bukan untuk melambatkan urusan, sebaliknya bagi memastikan setiap surat hak milik yang dikeluarkan adalah tepat dari segi pemilikan, lokasi, keluasan dan sempadan.
“Kerajaan Sarawak sentiasa komited memastikan hak dan tuntutan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang sah dikenal pasti, disukat, didokumentasikan dan didaftarkan mengikut peruntukan Kanun Tanah Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penyerahan Surat Hak Milik Tanah bagi Kawasan Pembangunan SALCRA Wilayah Sri Aman sempena sambutan Ulang Tahun Ke-50 SALCRA di Kilang Kelapa Sawit 2 SALCRA Merindun, di sini, hari ini.
Len Talif berkata pelaksanaan Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera secara perimeter di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak merupakan antara inisiatif utama kerajaan sebelum kerja pengukuran lot individu dilaksanakan, sekali gus membolehkan surat hak milik di bawah Seksyen 18 dikeluarkan kepada pemilik yang layak.

Menurut beliau, pendekatan itu membolehkan hak pemilik tanah didokumentasikan dengan lebih jelas, sekali gus mengelakkan pertindihan tuntutan, pertikaian sempadan dan pencerobohan pada masa hadapan.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak turut menyediakan peruntukan bagi melaksanakan kerja pengukuran perimeter dan lot individu, sekali gus membolehkan pemilik yang layak memperoleh surat hak milik tanpa dikenakan kos pengukuran.
Katanya, surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak turut diberikan tanpa dikenakan premium, dikecualikan daripada cukai tanah serta menawarkan pegangan kekal kepada pemilik berdaftar, tertakluk kepada syarat hak milik dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan SALCRA kini telah membangunkan sekitar 55,000 hektar tanah melibatkan 31,390 lot dengan penyertaan lebih 21,800 peserta, manakala sekitar 2,743 lot atau sembilan peratus masih dalam proses pengukuran kadaster sebelum surat hak milik dapat dikeluarkan.
Beliau berkata jumlah itu dijangka terus meningkat berikutan pembangunan kawasan baharu oleh SALCRA di Bahagian Sarikei dan Sibu yang memerlukan proses pengukuran serta dokumentasi lengkap sebelum urusan pendaftaran hak milik dapat disempurnakan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerjasama erat antara Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dengan SALCRA perlu terus diperkasakan, termasuk melalui pengiktirafan terhadap kumpulan juruukur SALCRA bagi membantu mempercepat kerja pengukuran kadaster mengikut piawaian teknikal yang ditetapkan.
“Pengeluaran baki surat hak milik tanah di kawasan pembangunan SALCRA merupakan usaha berterusan kerajaan sehingga semua peserta yang layak menerima pengiktirafan pemilikan secara sah, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap konsep pembangunan tanah yang dilaksanakan,” katanya.
Beliau turut menggesa semua pemilik tanah supaya memberikan kerjasama penuh sepanjang proses pengukuran, pengesahan tuntutan dan penentuan sempadan, di samping memastikan maklumat berkaitan sejarah pemilikan, waris serta sempadan tanah dikemukakan dengan tepat.

Pada masa sama, Len Talif mengingatkan penerima supaya menyimpan geran tanah dengan baik dan tidak terburu-buru menjual atau memindahkan hak milik tanah demi keuntungan jangka pendek kerana tanah merupakan aset yang mampu menjamin kesejahteraan keluarga serta memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Beliau turut menasihatkan waris supaya segera menguruskan proses pewarisan apabila berlaku kematian pemilik bagi mengelakkan pertikaian dan kesukaran dalam pengemaskinian rekod pemilikan.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, SALCRA, pentadbiran bahagian dan daerah, ketua masyarakat serta semua pemilik tanah atas kerjasama yang diberikan, selain mengucapkan tahniah kepada SALCRA sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-50.
Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa serta Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi.
Oleh ADI SAFARMAN




