KUALA LUMPUR, Nov 24 (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan perpaduan yang dibentuk hari ini dengan penyertaan beberapa parti akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.
Dalam sidang media sulungnya malam ini, Anwar berkata sehingga tempoh beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 5 petang tadi, terdapat tiga komponen terbesar yang membentuk kerajaan perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau berkata PH merupakan blok terbesar dengan jumlah Ahli Parlimen seramai 82 orang diikuti BN (30) dan GPS seperti yang disahkan oleh Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, 23 orang.
Menegaskan soal kestabilan kerajaan yang baharu dibentuk tidak berbangkit, beliau berkata kerajaan perpaduan itu yang turut disertai Warisan, Muda dan Parti Bangsa Malaysia juga tidak menolak kemungkinan penyertaan parti lain.
“Saya ingin tegaskan dalam acara pertemuan pertama dengan rakyat selaku Perdana Menteri bagi seluruh rakyat Malaysia, mewakili semua kaum dan menjamin keharmonian semua rakyat, saya tetap bersedia menerima penyertaan semua yang lain untuk menjadikan negara ini stabil.
— BERNAMA