Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kerajaan perhebat kawalan bekalan, harga barangan depani krisis bekalan global
  • NASIONAL
  • TEMPATAN

Kerajaan perhebat kawalan bekalan, harga barangan depani krisis bekalan global

Utusan Sarawak 2 hours ago
TIMBALAN Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh ditemuramah wartawan Bernama selepas meluangkan masa untuk bersiaran langsung dalam temu bual eksklusif bersama Bernama Radio di Wisma Bernama hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperhebat langkah kawalan bekalan dan harga barangan bagi melindungi pasaran tempatan daripada tekanan inflasi yang berpunca daripada krisis bekalan global.  

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata Malaysia tidak terkecuali daripada impak global, termasuk konflik di Asia Barat dan sekatan di laluan perdagangan utama seperti Selat Hormuz.

Beliau berkata peningkatan kos logistik antarabangsa menyumbang kepada kenaikan harga barangan import, sekali gus memberi kesan kepada keseluruhan rantaian bekalan domestik.

“Sebenarnya kita tidak hidup dalam kepompong sendiri kerana pada hari ini, apa sahaja yang berlaku di persekitaran kita, ia akan ada kesan kepada negara. Apabila kos logisitik meningkat, tentu sekali barang yang dibawa masuk itu meningkat harganya, dan rantaian bekalan itu akan ada kos,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi tetamu program Temu Bual Eksklusif: Dari Global ke Lokal: Usaha Kerajaan Kawal Inflasi terbitan Bernama Radio hari ini. 

Fuziah berkata bagi meminimumkan kesan terhadap rakyat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi tumpuan kepada memastikan bekalan mencukupi dan harga terkawal melalui penguatkuasaan undang-undang seperti Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan operasi seperti Ops Tiris juga dipergiat bagi mengelakkan ketirisan barangan bersubsidi seperti diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan minyak masak paket yang berisko meningkat ketika krisis global.

“Selain Ops Tiris, kerajaan juga menggunakan dua akta tersebut untuk mengawal bekalan dan harga barangan agar penjual atau peniaga tidak sewenang-wenangnya menjadikan konflik dan keadaan geopolitik semasa di Asia Barat sebagai sebab menaikkan harga barang,” katanya.

Beliau berkata KPDN mempunyai punca kuasa untuk mengarahkan peniaga mengemukakan maklumat lengkap kos perniagaan sehingga tempoh dua tahun bagi mengenal pasti sekiranya berlaku kenaikan harga yang tidak wajar.

Beliau turut menyarankan agar pengguna mengutamakan barangan tempatan dan mengamalkan perbelanjaan berhemah bagi membantu menstabilkan pasaran dalam mendepani ketidaktentuan global ketika ini. – Bernama

Continue Reading

Previous: Pengerusi Wanita SUPP Pusat pertahan kenyataan Dr Sim, dakwa DAP amalkan dwistandard
Next: Weststar Defence tawar sistem Sky Dragon 100, teknologi Republik Czech untuk TUDM

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.