KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan bersama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) bekerjasama mempergiatkan sektor pelancongan domestik di negeri ini.
Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan negeri menerusi kementeriannya sentiasa mencari jalan untuk melonjakkam ekonomi dan jumlah pelancong ke Sarawak ketika negara berhadapan pandemik Covid-19.
“Sarawak mempunyai 66 Kawasan Terlindung Sepenuhnya, termasuk 46 Taman Negara, lima Santuari Hidupan Liar dan 15 Rizab Semulajadi.
“Ada banyak lagi yang boleh ditawarkan oleh Sarawak untuk dinikmati oleh para pelancong ketika negara berdepan Covid-19,” katanya pada sidang media selepas menyertai ‘Urban Forest Night Walk’ di Rizab Semulajadi Samajaya, malam kelmarin.
Mengenai Rizab Semulajadi Samajaya, ia terkenal dengan trek joging yang berjaya menarik 20,000 pelari setiap bulan.
“Saya percaya produk ekopelancongan baharu ini akan menjadi peluang yang baik bagi pengunjung untuk melihat spesies nokturnal yang hanya keluar pada waktu malam, seperti spesies katak, Lemur terbang dan burung nokturnal,” ujarnya.
Bagi mereka yang ingin merasai ‘Urban Forest Night Walk’, pendaftaran boleh dibuat di Rizab Semulajadi Samajaya dan Pusat Maklumat Pelawat (VIC).
Bayaran masuk RM50 bagi kumpulan terdiri daripada 1-5 orang sementara RM10 bagi setiap seorang jika lebih daripada lima orang.
Mereka yang berminat boleh menghubungi talian 082-365194 atau VIC di talian 082-248088 dan Urban Forest Night Walk dibuka tiga malam seminggu (Isnin, Rabu dan Jumaat).
Oleh Nur Ain Otsman