TATAU: Kerajaan komited dalam usaha mewujudkan peluang ekonomi bagi meningkatkan hasil pendapatan rakyat menerusi sektor pertanian.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie Tayai berkata, justeru pelbagai aktiviti dengan memfokuskan kepada sektor terbabit telah dan akan dilaksanakan.
“Kerajaan melalui jabatan pertanian menyediakan pelbagai subsidi dan khidmat nasihat, kursus serta taklimat kepada petani untuk meningkatkan hasil tanaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian dan Penutupan Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) Rh Arjey, Nanga Mina, Kakus, Tatau.
John juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus memaklumkan bahawa, program seumpama itu merupakan salah satu langkah untuk memberi kefahaman dan meningkat pengetahuan kepada para petani di rumah panjang dan kampung kampung.
“Mereka (peserta) diajar cara penanaman dan penjagaan tanaman yang betul,” katanya.
Tambah beliau, tujuan kerajaan membuat program seperti itu bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian supaya dapat mengurangkan import makanan dari negara luar.
“Ini akan mewujudkan peluang ekonomi dan meningkatkan pendapatan masyarakat di kawasan luar bandar dengan sasaran pendapatan setiap isi rumah di Sarawak tidak kurang daripada RM4 ribu sebulan,” katanya.
Program tersebut dihadiri seramai 162 peserta untuk mengikuti kursus yang disediakan.
Antara taklimat yang disampaikan adalah berhubung Teknologi Tanaman Durian,Teknologi Tanaman Sayur-Sayuran, Teknologi Tanaman Kelapa Sawit, Teknologi Tanaman Kelulut dan Ternakan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar.