LIMBANG: Pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada semua pengamal media di bahagian ini membuktikan kerajaan mengiktiraf peranan mereka sebagai petugas barisan hadapan.
Menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, semua pengamal media sama ada media cetak dan elektronik di bahagian Limbang sudah diberi vaksin sekali gus memudahkan mereka menjalankan tugas di lapangan.
“Kita juga berterima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana memberi keutamaan kepada pengamal media di Bahagian ini untuk menerima suntikan vaksin.
“Tindakan dilihat memberi kelegaan kepada mereka yang juga petugas barisan hadapan untuk bertugas di lapangan,” katanya ketika penyerahan sumbangan di Sekatan Jalan Raya (SJR) depan Kompleks Sukan Limbang semalam.
Mengiringi beliau ialah Residen Bahagian Limbang merangkap Pengerusi SDMC Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Ketua Polis Daerah Superintenden Parum Niot dan Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Daerah Limbang, ASP Khairul Ridzuan Ahmad.
Seterusnya ADUN Bukit Kota itu memaklumkan, selain pengamal media, seramai 140 pengangkutan tempatan di Limbang dan 49 di Lawas sudah diberi suntikan vaksin dos pertama.
“Pemberian vaksin ini penting sejajar dengan keputusan terkini dari Negara Brunei yang dikeluarkan pada 1 Jun lalu berhubung Syarat Vaksinasi Mandatori Bagi Pejalan-pejalan Keluar Negeri (Outbound Travellers) yang dijangka berkuatkuasa 12 Julai ini nanti.
“Semua pengangkut tempatan yang melalui negara Brunei itu bukan saja perlu melakukan ujian swab tetapi perlu pengesahan sudah diberi vaksin dos kedua sebelum memasuki negara itu berkuatkuasa 12 Julai ini,”tambahnya lagi.
Melalui pemberian suntikan vaksin ini Dr. Abdul Rahman berharap agar pengangkut tempatan dapat menjalankan tugas membawa barang keperluan asas, makanan dan sebagainya untuk keperluan penduduk di utara Sarawak.
Sementara itu Ir. Ahmad Denney juga telah berjaya memastikan segala usaha SDMC dalam memberi khidmat kepada rakyat berjalan sempurna.
Beliau juga komited turun padang melihat keperluan petugas SDMC dan rakyat yang akan menerima suntikan vaksin di semua ppv di Bahagian Limbang ini.
Oleh ADENG EDRUS