KUCHING: Kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya menjana pendapatan lebih RM10 billion setahun, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pengerusi GPS itu berkata, pendapatan negeri Sarawak meningkat setelah GPS mentadbir negeri ini.
“Tidak ada negeri lain di Malaysia yang mampu berbuat demikian,” katanya ketika melancarkan manifesto GPS PRU-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam ini.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, GPS akan terus bertekad merancakkan dan membangunkan modal insan serta keadilan sosial.
“Kita memberi perhatian kepada latihan dan pendidikan berkualiti kepada pelajar yang menjadi aset utama masa depan Sarawak,” katanya.
Selain itu, kata beliau, kerajaan GPS akan terus melaksanakan dasar inklusif, kebebasan beragama, mengamalkan adat resam, budaya, seni warisan demi keharmonian sosial.
Katanya, perkara itu akan menjadi ramuan ampuh bagi mewujudkan masyarakat pelbagai kaum yang harmoni dan bersatu padu di Sarawak.
“Kita menjadi contoh terbaik dari segi layanan adil kepada semua agama sebagaimana terbukti melalui usaha kerajaan GPS memperkukuh institusi agama seperti Majlis Islam Sarawak dan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
“Ini dilakukan dengan dukungan teraju kepemimpinan politik dan tadbir urus kerajaan yang berintegriti, cekap dan profesional,” katanya.
Laporan oleh AZREEN KERIA, SHAHRUL QAIZAT dan NICKELYSON LAKUN