
JOHOR BAHRU: Kerajaan akan membincangkan cadangan meningkatkan had kuota Budi MADANI RON95 (BUDI95) bagi penghantar makanan p-hailing kepada 250 liter, dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Selasa ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengambil maklum bahawa had semasa sebanyak 200 liter sebulan bagi golongan berkenaan menyamai kadar penggunaan biasa, sekali gus memerlukan penelitian semula demi kebajikan mereka.
“Mesyuarat hari Selasa ini, saya akan bawa perkara ini dan bincang. Sebab dia (p-hailing) dapat 200 liter sama macam kitalah, RON95 hanya 200 liter sahaja.
“Jadi, saya kata, nanti saya ingatkan saudara Fahmi (Datuk Fahmi Fadzil), kita cari jalan kalau sekurang-kurangnya naik 50 liter, (menjadi) 250 liter,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Negeri Johor di Dewan Terbuka Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara, Tebrau hari ini.
Anwar berkata, cadangan itu tercetus hasil inisiatif beliau sendiri yang turun padang untuk bertanya dan mendengar keluhan golongan penghantar makanan tentang kecukupan kuota semasa.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM1 juta bagi membiayai kerja-kerja baik pulih yang mendesak di kawasan perumahan berkenaan selepas mendengar aduan daripada jawatankuasa penduduk.
“Saya luluskan RM1 juta dulu, sekurang-kurangnya selesaikan yang mendesak dulu. Kalau ada kemudahan yang pecahkah, pintu (rosakkah) dan sebagainya, kita baik pulih,” katanya.
Pada majlis sama, Anwar turut mengarahkan supaya tandas rosak di Sekolah Bukit Mutiara dibaiki segera selepas perkara itu dibangkitkan penduduk.
Beliau berkata keupayaan kerajaan untuk menyalurkan bantuan infrastruktur dan mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter (BUDI95), yang disifatkannya antara yang terendah di dunia, ialah hasil kestabilan negara, hubungan diplomatik yang baik serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri. – Bernama