SIBU: Kerajaan Belanda menyatakan hasrat untuk memberikan bantuan dari segi teknikal bagi menyelesaikan masalah banjir di Sibu.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, wakil kerajaan Sarawak akan melawat Belanda hujung bulan ini untuk membincangkan penyelesaiannya.
Katanya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg prihatin dengan rancangan pembangunan semula di Sibu dan telah memperuntukkan dana RM1 bilion untuk tujuan itu.
“Pelan pembangunan semula itu akan melibatkan sebahagian besar kawasan Sibu dan itu juga termasuk pembinaan tasik.
“Justeru, saya menggesa penduduk Sibu supaya tidak membeli rumah di Kuching memandangkan Sibu akan berkembang maju, menjadi kaya dan hebat.
“Ini adalah rancangan kerajaan untuk Sibu,” katanya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina lima cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Dewan Suarah Sibu, malam tadi.
Dr Sim yang juga Presiden SUPP berkata, Sarawak mengalami perubahan besar sejak 10 tahun lalu di bawah kepemimpinan Allahyarham Pehin Sri Tan Sri Adenan Satem dan Abang Johari.
Katanya, Sarawak telah meningkatkan pendapatannya daripada RM7 bilion pada 2018 kepada RM11.9 bilion pada 2022.
“Kerajaan Sarawak menyediakan pelbagai bantuan kepada rakyat termasuk RM6.7 bilion untuk membantu rakyat dan perniagaan semasa pandemik Covid-19.
“Saya menyeru rakyat Sibu agar sentiasa menyayangi dan melindungi Sarawak serta berusaha ke arah mencapai negeri yang sejahtera menjelang 2030,” katanyq.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga ADUN Pelawan, Michael Tiang, ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng, Senator Robert Lau Hui Yew dan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting.
Oleh AKUN GIMAN