KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan pastikan mangsa yang terjejas dalam kebakaran di Kampung Tabuan Cemerlang di sini untuk mendapatkan penempatan segera.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ketika ini, pihak Pejabat Residen Kuching dan Penghulu Tabuan Melayu, Amzah Dollah sedang mengenalpasti rumah sewa di sekitar kawasan Kampung Tabuan untuk menempatkan mangsa-mangsa yang terjejas.
Beliau berkata sebelum memindahkan mangsa yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan rumah saudara mara ke rumah sewa baharu, ia perlu mendapat persetujuan daripada ketua keluarga.
“Yang penting ialah mereka mempunyai tempat tinggal, walaupun menyewa. Kerajaan Sarawak ada menyediakan bantuan sewa rumah untuk penduduk yang tinggal di bandar dan berpendapatan rendah, ada kuantumnya, untuk membantu mereka membayar sewa rumah itu.
“Tempatnya nanti akan dirunding, kerana mereka mempunyai anak yang bersekolah, ibu bapa selalu mahukan tempat yang dekat dengan sekolah anak-anak. Kita akan berunding dengan ketua isi rumah, mengikut kesesuaian terutamanya untuk menghantar anak ke sekolah.
“Rumah sewa ini perlu mendapat persetujuan ketua keluarga, kalau rumah sewa terlalu jauh, ia akan menyusahkan mereka. Jadi rundingan ketika ini sedang berjalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat ke PPS Dewan Dato Sri Haji Wan Junaidi, Tabuan Lot, di sini, hari ini.
Pada lawatannya ke PPS tersebut, beliau turut menyerahkan bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan harian kepada mangsa.
Fatimah berkata jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM12,700 diagihkan kepada tujuh keluarga mengikut keperluan.
“Jumlah bantuan hari ini adalah RM12,700, diagihkan berbeza-beza mengikut keperluan,” jelasnya.
Untuk rekod, dalam kejadian kebakaran pada 9.00 pagi, 27 Ogos lepas, seramai 49 mangsa dari lapan keluarga terjejas.
Kebakaran melibatkan satu unit rumah sewa (enam pintu) dan dua rumah persendirian. Rumah sewa dan salah sebuah rumah persendirian tersebut terbakar 100 peratus, manakala satu lagi runah persendirian hanya terbakar 10 peratus.
Ketika ini, tujuh keluarga telah ditempatkan semula dengan tiga daripadanya ditempatkan di PPS dan empat lagi di rumah saudara mara.
Oleh SHAHRUL QAIZAT
Gambar
TERIMA KASIH… Dato Sri Fatimah Abdullah ketika menyerahkan bantuan kepada mangsa yang terlibat dalam satu insiden kebakaran di Kampung Tabuan Cemerlang.