MIRI: Kerajaan negeri bersedia membantu persatuan daripada pelbagai kaum untuk terus memperkukuhkan perpaduan pelbagai kaum dan agama di Sarawak.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah membuktikan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memang menitikberatkan perpaduan antara agama dan kaum sebagai tunjang untuk memajukan Sarawak.
“Selain itu, Kementerian Perpaduan Negara kagum dengan usaha Sarawak melalui UNIFOR dan menterinya serta bercadang untuk membawa konsep UNIFOR untuk dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong,” katanya.
Abang Johari berkata demikian pada majlis ringkas untuk menyerahkan geran Kerajaan Sarawak bernilai RM4.5 juta kepada Persatuan Melayu Miri, di sini, malam kelmarin.
Mengenai geran tersebut, Abang Johari berkata ia adalah untuk membina bangunan persatuan tersebut sebagai simbol perpaduan masyarakat Melayu di kawasan Miri yang jumlah tersebut adalah sebahagian daripada kos untuk membina bangunannya.
Sementara itu, Abang Johari turut berkata bantuan juga dihulurkan kepada masyarakat Orang Ulu melalui Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) yang juga akan mempunyai bangunan sendiri di sini.
“Manakala masyarakat lain di sini seperti Kedayan dan Jati Miriek juga mendapat perhatian Kerajaan GPS.
“Bagi masyarakat Dayak pula, Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dan Sarawak Dayak Graduate Association (SGDS) adalah antara persatuan yang menerima bantuan Kerajaan,” tambah beliau.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Oleh Zarina Abdullah