PASIR PUTEH: Kerajaan akan membantu pengusaha sayur-sayuran untuk eksport di Cameron Highland, Pahang dan Lojing, Gua Musang bagi mengatasi lambakan bekalan itu sehingga terpaksa dibuang akibat tidak dapat dipasarkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya telah menghantar pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ke kawasan terbabit untuk melakukan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan perkara itu.
“Sebahagian daripada sayur-sayuran itu akan dibeli oleh FAMA manakala sebahagian lagi kami sedang pertimbang pelbagai cadangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Tok Bali di sini semalam.
Che Abdullah berkata, kementerian itu membuka bilik gerakan yang beroperasi sepanjang PKP bagi menyelesaikan masalah dalam kalangan pengusaha tanaman.
“Kami harap pengeluar makanan lebih kreatif dalam memasarkan hasil mereka dan berfikir ke hadapan seperti melakukan jualan dalam talian serta perkhidmatan penghantaran berbanding cara konvensional yang mereka lakukan sebelum ini,” katanya. – BERNAMA