
KAPIT: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kapit 2 turut menyumbang kepada kejayaan cemerlang pelajar Sarawak dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Seramai 47 calon SPM 2024 sekolah berkenaan mencapai keputusan 4A dan ke atas, dengan dua calon mendapat 9A.
Dari segi peratusannya, SMK Kapit 2 mencatat peningkatan 98.22 peratus pada 2024 berbanding 96.90 peratus yang dicatat pada 2023.
Selain itu, sekolah itu turut mencatat peningkatan GPS 4.97 dari tahun 2023 kepada 4.80 tahun 2024, peningkatan selama sembilan tahun berturut-turut.
Bagi meraikan kejayaan itu, satu sesi bersama bekas pelajar SPM 2024 telah diadakan di Dewan Kejora SMK Kapit No.2 pada pagi ini, sempena pengumuman keputusan peperiksaan.
Pengetua SMK Kapit No.2, Nawang Budi dalam ucapan ringkas menyatakan bahawa beliau dan pihak sekolah mengucapkan Tahniah dan syabas kepada semua calon SPM 2024 kerana telah berjaya merekodkan pencapaian SPM yang sangat cemerlang.
Beliau juga mengucapkan tahniah juga kepada semua guru, sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak dalam melakar kecemerlangan tersebut.
“Pihak sekolah mengucapkan terima kasih atas sokongan yang padu daripada barisan pentadbir, semua ketua bidang, semua ketua panitia, semua guru yang banyak berusaha meningkatkan prestasi murid, dan juga pihak PIBG serta komitmen yang tinggi yang diberikan oleh semua pihak.
“Seluruh warga SMK Kapit 2 berasa bangga dengan pencapaian yang telah ditunjukkan oleh pelajar. Pihak sekolah menyeru agar mereka teruskan berusaha untuk masa depan yang lebih cemerlang lagi.
“Ini kerana kejayaan dalam SPM tahun ini merupakan langkah permulaan untuk menerokai alam di luar sekolah, baik di IPTA mahupun IPTS, serta seterusnya dunia kerjaya yang mendatang,” katanya. – UKAS