MARUDI : Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen P.220 Baram mungkin tidak dapat diumumkan malam ini memandangkan 13 pasukan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) tidak dapat ke lokasi.
Ini berikutan helikopter yang mereka dinaiki tidak dapat mendarat di beberapa lokasi pusat mengundi di Hulu Baram kerana cuaca berkabus tebal.
Helikopter membawa petugas itu terpaksa berpatah balik.
Sehubungan itu, Pengawai Pengurus Pilihan Raya P.220 Baram, Belayong anak Pok berkata pihak SPR di ibu pejabatnya di Putrajaya sedang bermesyuarat untuk mencari penyelesaian.
Katanya, semua helikopter yang sepatutnya membawa petugas ke pusat penggundian di beberapa lokasi pagi tadi diarah patah balik ke pengakalan di Miri.
Bagaimanapun jelas Belayong, bagi petugas SPR yang telah pergi semalam akan membawa balik peti undi seperti biasa selepas pengundian dijalankan hari ini.
Katanya, pusat mengundi yang terjejas teruk akibat berkabus tebal ialah Lio Mato, Long Moh dan Mekaba dan pihak petugas SPR masih menunggu arahan seterusnya.
Dalam pada itu menurut salah seorang petugas SPR yang enggan namanya didedahkan beliau bertugas di pusat pengundian di Lio Mato.
“Sejak semalam helikopter yang kami dinaiki tidak dapat mendarat dan berpatah balik sebanyak tiga kali ekoran keadaan cuaca yang tidak mengizinkan..
Oleh JIKU JUGUONG