SIBU: Kepelbagaian sistem pendidikan yang menjadi sebahagian daripada realiti masyarakat Sarawak tidak wajar dijadikan ukuran terhadap kesetiaan atau semangat perpaduan rakyat negeri ini, sebaliknya perlu dilihat sebagai kekuatan dalam membangunkan modal insan untuk masa depan.
Ketua Pemuda Pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, pengalaman Sarawak membuktikan kepelbagaian aliran pendidikan tidak pernah menghalang masyarakat daripada hidup aman, saling menghormati dan bekerjasama.
Menurutnya, perbincangan mengenai pendidikan tidak seharusnya dibuat secara simplistik dengan mengaitkan sesuatu aliran pendidikan dengan isu kesetiaan, perpaduan atau hubungan antara kaum.
“Pertama, SJK(C) merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan negara dan beroperasi dalam kerangka undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, isu berkaitan SJK(C) hendaklah dibincangkan berdasarkan fakta dan konteks sistem pendidikan kebangsaan secara menyeluruh, bukannya melalui pendekatan yang boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap sesuatu komuniti,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan penceramah bebas dari Semenanjung Malaysia, Mohd Ridhuan Tee Abdullah menerusi hantaran di media sosial pada Isnin yang menyentuh isu sekolah vernakular, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) serta cadangan penubuhan universiti berteraskan bahasa Cina di Sabah dan Sarawak.
Lau turut menegaskan bahawa pengiktirafan terhadap kepelbagaian pendidikan tidak bermaksud mengetepikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Sebaliknya, penguasaan bahasa Melayu, Inggeris serta bahasa-bahasa lain boleh diperkasakan secara seiring bagi melengkapkan generasi muda Sarawak dengan kemahiran relevan dalam persekitaran ekonomi dan pendidikan global,” ujarnya.
Mengulas isu UEC, Lau berkata, kerajaan Sarawak telah mengiktiraf kelayakan berkenaan sejak lebih sedekad lalu, namun keharmonian dan kestabilan negeri tidak terjejas akibat dasar tersebut.
Katanya, keadaan itu membuktikan bahawa latar belakang atau aliran pendidikan seseorang tidak wajar dijadikan ukuran terhadap kesetiaan, semangat kebersamaan mahupun sumbangan mereka kepada Sarawak dan Malaysia.
“Sepanjang tempoh tersebut, Sarawak terus berkembang sebagai sebuah negeri yang aman, stabil dan bersatu.
“Ini membuktikan bahawa latar belakang atau aliran pendidikan seseorang tidak seharusnya dijadikan ukuran terhadap tahap kesetiaan, semangat kebersamaan atau sumbangan mereka kepada negeri dan negara,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan sama turut dapat dilihat menerusi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang memberi peluang kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang, termasuk lepasan UEC, untuk melanjutkan pengajian tinggi.
Menurutnya, dasar tersebut memperlihatkan usaha Sarawak memperluas akses pendidikan tanpa menjadikan perbezaan aliran pendidikan sebagai penghalang kepada pembangunan modal insan.
Lau berkata, usaha memperluas kerjasama pendidikan tinggi dengan institusi antarabangsa, termasuk penerokaan kerjasama dengan Universiti Fudan, perlu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang Sarawak membangunkan ekosistem pendidikan dan penyelidikan bertaraf tinggi.
Katanya, usaha yang digerakkan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian bersama pemimpin SUPP itu bukan semata-mata berkaitan bahasa atau identiti, sebaliknya mempunyai potensi lebih luas dalam bidang perubatan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Kerjasama antarabangsa berpotensi membuka ruang kepada pertukaran kepakaran, pembangunan penyelidikan, peningkatan kapasiti institusi serta usaha menangani keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi, khususnya dalam sektor kesihatan dan bidang strategik lain,” ujarnya lagi.
Lau berkata, Sarawak perlu terus mengambil pendekatan terbuka dalam membangunkan sektor pendidikan kerana persaingan masa depan tidak lagi terhad kepada sempadan negeri atau negara.
“Kepelbagaian bahasa dan pendidikan perlu dilihat sebagai aset Sarawak, bukannya ancaman kepada perpaduan,” tegasnya.
Katanya, pengalaman Sarawak membuktikan bahawa masyarakat daripada latar belakang berbeza mampu hidup bersama apabila perbezaan diurus berdasarkan sikap saling menghormati dan keterbukaan.
“Sarawak telah lama membuktikan bahawa kepelbagaian bukanlah kelemahan.
“Sebaliknya, apabila diurus dengan sikap saling menghormati, keterbukaan dan kefahaman bersama, kepelbagaian mampu menjadi kekuatan yang menyatukan masyarakat,” katanya lagi.
Lau menggesa semua pihak supaya tidak menjadikan isu pendidikan sebagai medan memperbesar perbezaan kaum dan agama.
“Sebaliknya, tumpuan harus diberikan kepada usaha memastikan anak Sarawak mendapat pendidikan berkualiti, akses lebih luas serta kemahiran untuk menghadapi tuntutan ekonomi masa depan.
“Perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam sebuah masyarakat demokratik. Namun, perbezaan tersebut tidak seharusnya dieksploitasi sehingga menimbulkan salah faham atau menggugat keharmonian yang telah sekian lama dibina di Sarawak.
“Pendidikan seharusnya menjadi jambatan yang memperluas peluang, membina perpaduan dan memperkukuh masa depan Sarawak, bukan menjadi alat untuk memecah-belahkan masyarakat,” katanya.
Beliau menegaskan Sarawak akan terus memperkukuh pendekatan pendidikan yang inklusif, terbuka dan berorientasikan masa depan selaras dengan aspirasi membangunkan modal insan berkualiti serta memastikan tiada anak Sarawak tercicir daripada arus pembangunan.
Oleh Akun Giman





