JULAU: Keunikan Sarawak sebagai negeri yang dihuni masyarakat pelbagai etnik, agama dan budaya perlu terus dipelihara sebagai kekuatan dalam membina masa depan yang harmoni.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, kesepaduan sosial yang terbina sejak sekian lama membolehkan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak hidup dalam suasana saling menghormati dan harmoni.
Katanya, keharmonian dan perpaduan tersebut perlu terus dipertahankan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh perpaduan nasional serta identiti bangsa Malaysia.
“Kepelbagaian kaum, agama, budaya dan warisan tradisi dapat hidup di bawah satu bumbung perpaduan dan wajar kita pertahankan dalam mengorak langkah ke masa hadapan.
“Usaha mempertahankan keharmonian negara turut memerlukan generasi muda mempunyai semangat patriotisme, jati diri yang kukuh dan penghayatan terhadap Rukun Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jiwa@Komuniti: Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Julau, baru-baru ini.
Katanya, cabaran selepas mencapai kemerdekaan adalah untuk memastikan generasi akan datang mempunyai ketahanan semangat, sikap saling menghormati dan kesedaran mengenai tanggungjawab mereka sebagai warganegara.
“Semangat kenegaraan dan jati diri perlu dipupuk dalam diri generasi muda kerana keperibadian mereka akan mencerminkan keperibadian negara pada masa kini dan akan datang,” katanya.

Sehubungan dengan itu, usaha memupuk patriotisme dan membentuk jati diri bangsa yang unggul perlu dilaksanakan secara berterusan bagi melahirkan generasi berhemah tinggi dan berakhlak mulia.
Tambahnya, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ mencerminkan hasrat kerajaan membina sebuah negara maju, inklusif dan harmoni dengan kesejahteraan dinikmati seluruh rakyat.
Dalam pada itu, Larry menyeru masyarakat Julau supaya bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak di pejabat, premis perniagaan, kediaman serta rumah panjang masing-masing sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Tindakan itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan rasa cinta, taat setia dan penghargaan terhadap negara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Penerangan selaku penganjur utama program dengan kerjasama PPDK Julau, pelatih, RELA Daerah Julau, ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK), serta semua pihak yang menjayakan program tersebut.
Program Jiwa@Komuniti: Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 dianjurkan sebagai platform mendekatkan mesej kenegaraan dan patriotisme kepada komuniti setempat, khususnya dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Oleh Earl Anek





