Kepelbagaian agama bukan penghalang perpaduan – Mong Dagang

Facebook
WhatsApp
DATUK Mong Dagang semasa menghadiri Majlis Makan Malam Amal anjuran Persatuan Penganut Agama Buddha Dewa JiGong Huo Fo di Dewan Skim Melugu. Foto ADUN Bukit Begunan

SRI AMAN, 10 Oktober: Kepelbagaian agama di Sarawak bukan penghalang kepada perpaduan, malah menjadi kekuatan yang terus menyatukan rakyat pelbagai kaum dan kepercayaan di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, Sarawak sentiasa mengiktiraf kepentingan setiap agama dalam membentuk masyarakat yang harmoni, bersatu padu serta saling menghormati antara satu sama lain.

Menurut beliau, Sarawak juga merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), yang berperanan menyelaras serta menyokong keperluan rumah ibadat dan komuniti agama bukan Islam.

“Semangat saling menghormati, bekerjasama dan mengamalkan nilai-nilai murni perlu terus dipelihara bagi memastikan keharmonian masyarakat kekal utuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam Amal anjuran Persatuan Penganut Agama Buddha Dewa JiGong Huo Fo di Dewan Skim Melugu, semalam.

Dalam pada itu, Mong merakamkan penghargaan kepada pihak persatuan atas kejayaan menganjurkan majlis berkenaan yang bukan sahaja bertujuan mengumpul dana, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap ajaran agama membawa nilai-nilai murni yang mendidik penganutnya agar berdisiplin, melakukan kebaikan serta menjalani kehidupan dengan penuh tanggungjawab.

Sebagai tanda sokongan terhadap usaha persatuan, beliau mengumumkan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM13,000 kepada Persatuan Penganut Agama Buddha Dewa JiGong Huo Fo bagi membantu meneruskan pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Sementara itu, Temenggong Kueh Aik Seng berharap persatuan berkenaan terus memelihara hubungan baik dengan masyarakat setempat serta memainkan peranan aktif dalam memperkukuh keharmonian dan persefahaman antara komuniti.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Penganut Agama Buddha Dewa JiGong Huo Fo, Lee Sze Shean; Penasihat Persatuan, Desmond Voon; Ahli Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS), Kaunselor Mathew Igoh; tuai-tuai rumah serta masyarakat setempat.

Oleh Adi Safarman