SHEILA ZAIDI
KUCHING: Kenyataan Pengerusi Parti Sarawak Bersatu (PSB), Dato Sri Wong Soon Koh yang dilihat seperti menjatuhkan kerajaan adalah sangat dikesali.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang yang mewakili Kelab Penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) kesal dengan tindakan Wong yang juga mantan Menteri Kewangan Kedua yang mempunyai pengalaman selama 15 tahun.
“Beliau sepatutnya tahu akan pengurusan baik kewangan negeri dan kita mempunyai Dana Kontingensi yang memang sudah ada dalam bajet.
“Sebagai mantan Menteri Kewangan, beliau sepatutnya lebih tahu akan perkara ini,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN Sarawak semalam.
Menurut Lo, Sarawak mempunyai kedudukan kewangan yang sangat sihat dengan rizab paling banyak.
Katanya, peruntukan berjumlah RM2.55 bilion bagi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) adalah datang daripada Dana Kontingensi.
ADUN Muara Tuang, Datuk Idris Buang juga berkongsi pendapat yang sama dengan Lo dan menegaskan Soon Koh sepatutnya lebih tahu akan pengurusan kewangan negeri.
Kata Idris, tindakan Soon Koh yang tidak hadir dalam persidangan semalam seolah-olah hendak mengenepikan rakyat.
Sementara itu, ADUN Jemoreng, Datuk Juanda Jaya yang turut hadir semasa sidang media tersebut berkata, persidangan yang diadakan semalam adalah untuk memenuhi Perlembagaan Sarawak dan menjalankan tugas sebagai ADUN serta meluluskan perbelanjaan tambahan rakyat.
PSB katanya, seperti tidak mementingkan rakyat apabila mempersoalkan kemampuan kerajaan negeri untuk membiayai BKSS berjumlah RM2.55 bilion yang dikhaskan untuk rakyat.
“Mereka sentiasa melaungkan mahu berjuang untuk rakyat tetapi mereka gagal untuk hadir di persidangan DUN yang membincangkan berkenaan dengan hal rakyat.
“Malah, mereka turut tidak bersetuju dengan pembinaan jalan raya utama kedua dan ini bagi saya bukan lagi berjuang untuk rakyat,” kata Juanda.
Tambahnya, melihat kepada situasi ini, beliau yakin yang rakyat tahu arah mana untuk dipilih nanti.
ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang pula berkata, beliau sememangnya menjangkakan Soon Koh akan mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas.
“Pada pendapat saya, beliau (Soon Koh) mungkin sedar akan kesalahan nya dan beliau sebenarnya tahu keadaan sebenar.
“Beliau bagaimanapun tetap mahu menunjukkan bahawa rakyat percaya dengan kenyataannya kerana beliau pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Kewangan,” katanya.
Tindakan Soon Koh itu katanya, hanya untuk meraih kepercayaan politik kerana rakyat masih percaya bahawa beliau mengetahui apa yang berlaku dalam kerajaan, tegasnya.
Selain Wong, ADUN PSB yang tidak hadir semasa persidangan semalam ialah ADUN Engkelili, Dr. Johnical Rayong, Datuk Ranum Mina (Opar), Datuk Tiong Thai King (Dudong).