
KUCHING: Kenyataan tular di media sosial yang mendakwa Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertimbangkan untuk bertanding di Sabah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang disifatkan sebagai berita palsu.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Informasi dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, dakwaan yang tersebar di platform TikTok dan Facebook itu adalah tidak benar serta merupakan rekaan pihak tidak bertanggungjawab yang berniat menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Secara keseluruhannya, kenyataan dalam posting media sosial itu adalah berita palsu dan cerita dongeng ciptaan pihak tertentu yang berniat jahat.
“Tiada sebarang bukti menunjukkan Premier Sarawak selaku Pengerusi GPS pernah mengeluarkan kenyataan tersebut sama ada secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Tambah beliau, penyebaran maklumat tersebut jelas berbentuk fitnah politik yang bersifat remeh dan cetek serta bertujuan mencetuskan salah faham antara masyarakat di Sabah dan Sarawak.
“Kepimpinan politik kerajaan Sarawak di bawah Premier Sarawak tidak pernah berniat atau melakukan sebarang tindakan untuk mencampuri urusan politik atau pentadbiran negeri-negeri lain di Malaysia,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan Premier Sarawak ketika ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan negeri merangkumi infrastruktur, ekonomi dan kebajikan rakyat berdasarkan dasar pentadbiran yang jelas dan pragmatik.
“Ketika ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat dan tekanan kos sara hidup, kerajaan Sarawak telah mengumumkan bantuan kewangan tambahan kepada rakyat yang terkesan.
“Jelasnya, slogan ‘Sarawak First’ bukan hanya membawa maksud mempertahankan hak negeri, tetapi juga mencerminkan usaha kerajaan dalam memperkukuh pembangunan ekonomi moden, memperluas infrastruktur serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela,” jelasnya.
Beliau menambah, kerajaan Sarawak sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana negeri secara konstruktif demi kesejahteraan bersama dan pembangunan negara.
“Sentimen atau retorik politik yang negatif tidak akan memberi manfaat, sebaliknya boleh menjejaskan pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan negeri dan negara,” ujarnya.