PAS Sarawak sasar lima kawasan Parlimen, fokus isu tempatan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PESURUHJAYA PAS Sarawak, Mohammad Arifiriazul Paijo; Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari; Timbalan Pesuruhjaya I PAS Sarawak, Rasidi Harun; serta Pengarah Pilihan Raya PAS Sarawak, Zulkipli Ramzi ketika sidang media pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri PAS Sarawak di Alia Banquet Hall, di Kuching, hari ini.

KUCHING: Parti Islam SeMalaysia (PAS) Sarawak mengenal pasti sekurang-kurangnya lima kawasan Parlimen sebagai sasaran utama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Pesuruhjayanya, Mohammad Arifiriazul Paijo berkata, kawasan tersebut melibatkan Petra Jaya, Batang Sadong, Batang Lupar, Bintulu dan Miri.

Menurut beliau, parti kini sedang meneliti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sesuai dalam setiap kawasan Parlimen berkenaan.

“Sebagai contoh di Petra Jaya, kita sedang mempertimbangkan sama ada Satok, Tupong atau Samariang untuk ditandingi.

“Sementara itu, kita sasarkan lebih daripada satu kerusi di Batang Lupar termasuk Beting Maro, Sebuyau dan Lingga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Ramah Tamah Aidilfitri PAS Sarawak di Alia Banquet Hall, di Kuching, hari ini.

PARTI Islam SeMalaysia (PAS) Sarawak mengenal pasti sekurang-kurangnya lima kawasan Parlimen sebagai sasaran utama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Beliau berkata, pemilihan kerusi dibuat berdasarkan analisis prestasi pilihan raya lalu serta kajian dalaman parti.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebahagian besar calon berpotensi telah dikenal pasti, dengan hanya beberapa kerusi masih belum dimuktamadkan.

Mengulas strategi kempen, beliau berkata PAS akan memberi tumpuan kepada isu tempatan dan khidmat kepada rakyat berbanding memainkan sentimen politik negeri.

“Kita akui kekuatan dan prestasi kerajaan negeri, jadi fokus kita adalah kepada isu setempat dan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan kepentingan PAS di Sarawak untuk memperkukuh pendekatan khidmat kepada rakyat bagi meningkatkan penerimaan pengundi.

Oleh Shahrul Qaizat