APABILA kita menaiki kapal terbang pada waktu malam, kita akan melihat susunan lampu-lampu yang dipasang dengan kemas di sepanjang landasan.
Lampu-lampu ini bukan sekadar untuk menerangi landasan, malah berfungsi sebagai panduan visual yang membantu juruterbang mengenal pasti laluan ketika pesawat berlepas atau mendarat.
Oleh itu, lampu-lampu ini tidak boleh dipasang secara semberono. Setiap kedudukan, warna dan susunannya mempunyai fungsi tertentu sebagaimana panduan yang telah ditetapkan dalam industri penerbangan.
Selain lampu ini, setiap landasan juga mempunyai tanda-tanda khusus seperti garisan, anak panah, simbol dan nombor yang dicat dalam warna tertentu. Tanda-tanda ini memberikan maklumat penting kepada juruterbang untuk mengemudi pesawat semasa berada di landasan atau ketika hendak mendarat.
Di Malaysia, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengeluarkan dokumen rujukan kepada semua pengendali lapangan terbang bagi memastikan setiap lapangan terbang mematuhi piawaian antarabangsa.
Ketetapan mengenai tatatanda dan sistem lampu di aerodrom dihuraikan dalam Civil Aviation Directive 14 Volume I – Aerodrome Design and Operations, iaitu dokumen yang menjadi asas kepada reka bentuk, penyelenggaraan dan operasi landasan di negara ini.

Secara umum, warna tatatanda yang digunakan pada sepanjang landasan ialah putih. Warna kuning pula digunakan di laluan rayap (taxiway) dan warna merah digunakan pada kawasan tertentu untuk menandakan zon larangan atau kawasan berisiko tinggi yang tidak boleh dimasuki tanpa kebenaran.
Perbezaan warna pada tatatanda atas permukaan tarmak ini dapat membantu juruterbang mengenal pasti dengan cepat sama ada pesawat berada di kawasan landasan atau di laluan rayap.
Bagi membolehkan warna ini dapat dilihat pada waktu malam atau gelap, cat yang digunakan mengandungi bahan pemantul cahaya bagi memberi kesan visual berterusan.
Selain warna, penomboran di hujung landasan turut digunakan untuk menunjukkan arah pendekatan dan pendaratan pesawat. Memandangkan pesawat boleh mendarat dari mana-mana arah bergantung kepada arahan pengawal trafik udara (ATC), penomboran ini membolehkan juruterbang mengenalpasti hujung landasan yang betul dengan pantas.
Angka seperti 07, 25 atau 13, 31 pada setiap hujung merujuk kepada arah landasan berdasarkan rujukan magnetik. Nombor ini diperoleh dengan membundarkan nilai azimut magnetik landasan kepada puluhan terdekat, lalu membahagikannya dengan 10 untuk membuang digit terakhir.
Sebagai contoh, landasan yang menghala ke arah 074° ditandakan sebagai 07, manakala arah bertentangannya pada 254° ditandakan sebagai 25.
Melalui penomboran ini, juruterbang dapat mengesahkan arah pendekatan pesawat berdasarkan bacaan kompas sekali gus mengelakkan kekeliruan, terutamanya di lapangan terbang yang jarang dikunjungi atau dalam keadaan jarak penglihatan rendah.
Jika sesebuah lapangan terbang mempunyai beberapa landasan yang selari, huruf L, C atau R digunakan bersama nombor landasan untuk membezakan kedudukannya. Huruf ini masing-masing membawa maksud left (kiri), centre (tengah) dan right (kanan) berdasarkan kedudukan landasan yang dilihat oleh juruterbang ketika membuat pendekatan.
Jika nombor digunakan untuk menunjukkan arah landasan, garisan dan jalur yang terdapat di atas permukaannya pula membantu juruterbang mengenal pasti kedudukan serta kawasan tertentu. Antaranya ialah tatatanda ambang landasan (threshold marking), iaitu susunan jalur putih yang menandakan permulaan bahagian landasan yang tersedia untuk pendaratan.
Dalam keadaan tertentu, ambang landasan tidak semestinya berada tepat di hujung fizikal landasan. Ia boleh dianjak ke hadapan dan keadaan ini dikenali sebagai ambang landasan teranjak. Anak panah berwarna putih akan dicat pada permukaan landasan untuk menunjukkan arah menuju ke ambang yang sebenar.

Walaupun bahagian berturap masih terdapat sebelum ambang tersebut, kawasan ini bukan tempat yang digunakan untuk pesawat mula menyentuh landasan ketika mendarat dari arah berkenaan.
Di bahagian tengah landasan pula terdapat garisan putih putus-putus yang dikenali sebagai garisan tengah landasan. Garisan ini membantu juruterbang mengekalkan kedudukan pesawat berhampiran paksi tengah ketika berlepas atau selepas mendarat.
Sempadan kiri dan kanan landasan turut ditandakan dengan garisan sisi. Garisan putih ini membantu juruterbang mengenal pasti had permukaan landasan, terutama apabila warna atau keadaan permukaan di sebelahnya kelihatan hampir sama.
Ketika pesawat menghampiri kawasan pendaratan, terdapat pula dua blok putih besar di kiri dan kanan garisan tengah yang dikenali sebagai tatatanda titik. Tatatanda ini menjadi salah satu rujukan visual kepada juruterbang ketika membuat pendekatan, tetapi bukan bermaksud roda pesawat perlu menyentuh tepat di atasnya.
Berhampiran kawasan tersebut terdapat tatatanda zon sentuhan yang disusun secara berpasangan di kedua-dua sisi garisan tengah. Susunan ini membantu juruterbang menganggarkan kedudukan pesawat selepas melepasi ambang landasan dan ketika menghampiri kawasan yang lazim digunakan untuk sentuhan roda semasa mendarat.
Sebelum memasuki landasan, juruterbang akan melalui tatatanda kedudukan menunggu landasan. Tatatanda ini menandakan had pesawat perlu berhenti sebelum menerima kebenaran daripada pengawal trafik udara untuk memasuki landasan.
Pada waktu malam, tatatanda di permukaan landasan dilengkapi pula dengan sistem pencahayaan bagi memastikan panduan visual masih dapat dikenal pasti dengan jelas.
Sebelum pesawat sampai ke landasan, juruterbang boleh melihat sistem lampu pendekatan yang dipasang memanjang sebelum ambang landasan. Susunan lampu ini membantu juruterbang mengenal pasti arah dan paksi landasan ketika pesawat semakin hampir untuk mendarat.
Satu lagi sistem yang mudah dikenali ialah Penunjuk Laluan Pendekatan Tepat (PAPI) yang biasanya dipasang di sebelah landasan. PAPI terdiri daripada empat unit lampu yang akan kelihatan merah atau putih bergantung pada kedudukan pesawat terhadap sudut pendekatan yang ditetapkan.
Apabila dua lampu kelihatan putih dan dua lagi merah, pesawat berada hampir pada sudut pendekatan yang betul. Jika lebih banyak lampu putih kelihatan, pesawat berada lebih tinggi daripada laluan tersebut. Sebaliknya, lebih banyak lampu merah menunjukkan kedudukan pesawat semakin rendah.
Semakin hampir untuk mendarat, juruterbang akan melihat deretan lampu ambang landasan berwarna hijau. Lampu ini menandakan permulaan bahagian landasan yang tersedia untuk pendaratan dari arah pesawat sedang menghampiri.
Di sepanjang kiri dan kanan landasan pula terdapat lampu tepi landasan yang lazimnya berwarna putih. Susunan lampu ini membantu juruterbang mengenal pasti sempadan landasan, terutama pada waktu malam atau ketika jarak penglihatan berkurangan.
Bagi landasan tertentu, lampu turut dipasang di sepanjang garisan tengah. Lampu garisan tengah landasan pada bahagian awal berwarna putih sebelum warnanya berubah apabila pesawat semakin menghampiri penghujung landasan.
Perubahan ini memberi petunjuk kepada juruterbang bahawa baki panjang landasan semakin berkurangan. Di penghujung landasan pula terdapat lampu penghujung landasan yang berwarna merah. Warna ini menandakan had akhir landasan dari arah pesawat sedang bergerak.
Selepas pesawat meninggalkan landasan dan memasuki laluan rayap, warna lampu yang digunakan turut berbeza. Lampu di bahagian tengah laluan rayap berwarna hijau, manakala lampu di bahagian tepinya pula berwarna biru.
Perbezaan warna ini membantu juruterbang mengenal pasti laluan yang perlu diikuti terutama pada waktu malam. Dari tingkap pesawat, penumpang juga mungkin dapat melihat deretan lampu biru di kiri dan kanan, sementara lampu hijau menunjukkan laluan pesawat menuju ke apron atau terminal.
Di kawasan tertentu sebelum memasuki landasan, terdapat pula palang berhenti yang terdiri daripada deretan lampu merah melintang laluan rayap. Apabila lampu ini menyala, pesawat perlu berhenti dan tidak dibenarkan melintasinya.
Selain palang berhenti, lampu pengawal landasan turut dipasang berhampiran pintu masuk ke landasan. Lampu berwarna kuning ini berkelip bagi menarik perhatian juruterbang bahawa pesawat sedang menghampiri kawasan landasan dan perlu memastikan kebenaran daripada pengawal trafik udara telah diperoleh sebelum bergerak masuk.
Papan tanda turut menjadi sebahagian daripada panduan yang digunakan ketika pesawat bergerak di lapangan terbang. Papan tanda berlatar merah dengan tulisan putih digunakan untuk menyampaikan arahan yang wajib dipatuhi, khususnya sebelum memasuki kawasan tertentu.
Bagi menunjukkan kedudukan semasa pesawat pula, papan tanda berlatar hitam dengan tulisan kuning digunakan. Papan tanda berlatar kuning dengan tulisan hitam menunjukkan arah atau destinasi yang perlu diikuti.
Walaupun warna dan bentuk tatatanda ini ditetapkan mengikut piawaian sama, kemudahan yang terdapat di setiap lapangan terbang tidak semestinya serupa. Keperluannya bergantung kepada jenis operasi, kemudahan pendekatan serta tahap jarak penglihatan yang diperlukan di lapangan terbang berkenaan.
Juruterbang juga tidak hanya bergantung kepada satu lampu atau satu tatatanda. Maklumat yang dilihat di luar pesawat akan disemak bersama instrumen di dalam kokpit bagi memastikan kedudukan pesawat dan laluan yang digunakan adalah betul.
Bagi penumpang, perubahan warna lampu yang dilihat dari tingkap mungkin kelihatan seperti sebahagian daripada suasana di lapangan terbang. Namun bagi juruterbang, setiap warna dan kedudukannya memberikan maklumat tertentu tentang kawasan yang sedang dilalui dan tindakan yang perlu diambil.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.





