KUCHING: Keputusan kerajaan mengembalikan kuota petrol bersubsidi BUDI95 kepada 300 liter sebulan serta meningkatkan peruntukan BUDI Diesel kepada 400 liter bagi trak pikap dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang layak disifatkan sebagai langkah positif dalam membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup dan operasi perniagaan.
Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF), Datuk Jonathan Chai Voon Tok, berkata langkah berkenaan mencerminkan kesediaan kerajaan mendengar maklum balas awam serta mengambil kira kebimbangan isi rumah dan komuniti perniagaan berhubung peningkatan kos sara hidup.
“Kedua-dua langkah itu yang berkuat kuasa mulai 1 September merupakan antara enam inisiatif segera yang diumumkan kerajaan bersempena sambutan Hari Kebangsaan.
“Dari perspektif perniagaan, bahan api kekal antara kos operasi terbesar, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), peniaga, pengendali logistik, kontraktor, perniagaan pertanian serta penyedia perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemulihan kuota bahan api yang lebih tinggi dapat memberikan sedikit kelegaan segera kepada golongan berkenaan, selain membantu mengurangkan tekanan terhadap kos pengangkutan dan pengedaran.
“Walaupun peningkatan itu mungkin tidak sepenuhnya mengimbangi kenaikan kos menjalankan perniagaan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, ia tetap merupakan langkah positif ke arah yang betul.
“Sebarang langkah yang dapat membantu perniagaan mengurus perbelanjaan operasi secara tidak langsung turut memberi manfaat kepada pengguna kerana ia dapat mengurangkan tekanan terhadap perniagaan untuk memindahkan kos tambahan kepada pengguna melalui kenaikan harga,” jelasnya.
Dalam pada itu, Jonathan turut menyambut baik keputusan kerajaan menaikkan ambang mandatori e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta jualan tahunan.
Katanya, langkah itu dapat mengurangkan beban pematuhan terhadap banyak perniagaan mikro dan kecil, selain memberi mereka tempoh lebih panjang untuk membuat persediaan ke arah pendigitalan.
“Pada masa akan datang, saya berharap kerajaan terus mengadakan libat urus secara rapat dengan komuniti perniagaan sebelum melaksanakan perubahan dasar utama.
“Komuniti perniagaan amat menitikberatkan konsistensi dan kebolehramalan dasar kerana kedua-duanya penting bagi perancangan pelaburan serta pertumbuhan jangka panjang,” tambahnya.
Jonathan berkata, walaupun langkah segera itu menggalakkan, komuniti perniagaan masih berdepan kebimbangan terhadap kesan kumulatif peningkatan kos buruh, pematuhan peraturan dan perbelanjaan operasi lain.
“Justeru, kami berharap keputusan dasar pada masa hadapan terus mencari keseimbangan antara kelestarian fiskal dengan usaha mengekalkan daya saing Malaysia sebagai lokasi pelaburan dan menjalankan perniagaan.
“Pengumuman itu secara keseluruhannya memberi isyarat positif bahawa kerajaan bersedia mengkaji semula dasar apabila kebimbangan sebenar dibangkitkan oleh masyarakat dan sektor perniagaan.
“Kami berharap pendekatan secara rundingan ini akan diteruskan kerana kerjasama rapat antara kerajaan dan sektor swasta amat penting dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.





