KUALA LUMPUR: Momentum aliran meningkat di Bursa Malaysia dijangka berterusan minggu depan, dengan peniaga kekal optimis dan berhati-hati terhadap perkembangan luaran.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pihaknya mengekalkan unjuran positif, disokong oleh penilaian menarik dan peningkatan keyakinan pelabur, berdasarkan jumlah dagangan harian purata lebih tinggi dan pembelian asing yang kukuh.
Beliau berkata walau bagaimanapun, firma pembrokeran itu tidak menolak kemungkinan aktiviti pengambilan untung berlaku minggu depan.
“Indeks utama mengalami peningkatan semula dan dapat melepasi paras rintangan tidak berubah 1,500 pada Rabu lepas.
“Selepas memaparkan lima corak kenaikan positif berturut-turut, indeks itu memberi petanda minat belian yang berterusan, menunjukkan potensi untuk pergerakan menaik tambahan,” katanya kepada Bernama.
Thong berkata, tahap rintangan seterusnya dikenal pasti pada 1,527 dan menandakan momentum menaik tambahan jika boleh melepasi paras itu.
Beliau berkata sebaliknya, paras sokongan kritikal ditetapkan pada 1,477 dan sebarang penurunan di bawah paras itu akan mendorong penilaian semula terhadap pendirian kukuh jangka pendek Rakuten Trade untuk indeks penanda aras tersebut.
“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam aliran berjulat 1,495 hingga 1,515 minggu depan,” katanya.
Thong berkata pasaran tempatan akan bertindak balas terhadap data inflasi Amerika Syarikat pada Jumaat dan akan memantau rapat mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) tidak lama lagi untuk menilai prospek kadar faedah.
Data Indeks Pengurus Pembelian China bagi Januari akan dikeluarkan minggu depan, yang juga akan memberikan lebih banyak petunjuk mengenai aktiviti perniagaan, katanya.
Bagi dagangan baharu berakhir minggu ini, bursa tempatan dipengaruhi oleh kemungkinan pengurangan kadar faedah AS, rangsangan ekonomi China serta keputusan mengenai kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM).
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM menerusi mesyuarat pertamanya tahun ini pada Rabu memutuskan OPR dikekalkan pada 3.00 peratus, bagi kali keempat berturut-turut.
FBM KLCI bergerak dalam persekitaran pasaran yang stabil, melepasi paras psikologi 1,500 dan mencatatkan kenaikan selama lima hari berturut-turut pada Jumaat.
Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya ditutup pada Khamis susulan hari kelepasan am perayaan Thaipusam.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, indeks utama meningkat 19.91 mata kepada 1,506.28 daripada 1,486.37 minggu lepas.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 167.63 mata kepada 11,232.79, Indeks FBMT 100 menambah 151.09 mata kepada 10,885.38, Indeks FBM 70 melonjak 241.82 mata kepada 15,283.21, Indeks FBM Emas Syariah menokok 118.99 mata kepada 11,289.66 dan Indeks FBM ACE naik 51.98 mata kepada 4,842.13.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 212.18 mata kepada 16,825.7, Indeks Tenaga meningkat 35.23 mata kepada 878.55, Indeks Perladangan naik 2.63 mata kepada 7,165.72 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian tidak berubah pada 173.92.
Jumlah dagangan mingguan susut kepada 14.42 bilion unit bernilai RM9.63 bilion daripada 25.91 bilion unit bernilai RM14.69 bilion pada minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 8.65 bilion saham bernilai RM8.53 bilion daripada 16.10 bilion saham bernilai RM12.79 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan waran sebanyak 2.26 bilion unit bernilai RM313.69 juta berbanding 3.27 bilion unit bernilai RM425.21 juta minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran ACE pula turun kepada 3.48 bilion saham bernilai RM781.57 juta daripada 5.93 bilion saham bernilai RM1.48 bilion. – Bernama