
BEKENU: Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan menganjurkan Kempen Derma Darah Hari Bandar Raya Miri Ke-20 sempena sambutan ulang tahun ke-20 bandar raya Miri pada Sabtu ini di MyyMall, Lutong.
Setiausaha Politik Premier Sarawak Pandang Semat berkata, kempen ini bertujuan mengumpul darah untuk keperluan hospital yang juga sebahagian acara tahunan untuk memperingati dua dekad kemajuan dan pencapaian Miri sebagai sebuah bandar raya.
Beliau yang merangkap Penasihat Miri City Caring Society berkata kempen derma darah tahun ini dianjurkan dengan kerjasama enam organisasi iaitu Persatuan India Miri, Persatuan Kebajikan Komuniti Piasau Miri, Persatuan Wanita Petroleum Miri, Miri City Caring Society, Kelab Inner Wheel Miri dan Persatuan Punjabi Miri.
“Penganjuran bersama ini satu semangat kerjasama komuniti dalam menggerakkan perubahan positif, ini bukan sekadar satu acara namun ia adalah peluang untuk kita memberi kehidupan terutama kepada mereka yang memerlukan.
“Setiap pain darah yang didermakan mampu menyelamatkan sehingga tiga nyawa, menjadikan setiap penderma sebagai wira tidak didendang dalam kisah kehidupan seseorang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru lebih ramai orang awam tampil untuk menderma darah pada hari tersebut nanti.
Selain derma darah, Klinik Alpro Miri juga akan menawarkan saringan darah percuma kepada peserta di bawah program PEKA B40 dan SEHATI PERKESO.
Sementara itu, pengerusi penganjur bersama Karambir Singh, satu promosi khas untuk vaksin influenza turut disediakan pada harga istimewa RM45 sahaja.
Pendaftaran untuk Faedah Kesihatan Warga Emas juga akan diadakan sepanjang program berlangsung, untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Karambir di talian 016-8785500.
Oleh Adum Liu