PHNOM PENH: Kemboja menarik balik larangan masuk pelawat dari Iran, Itali, Jerman, Sepanyol, Perancis dan Amerika Syarikat yang dikenakan sebelum ini bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19), lapor agensi berita Vietnam (VNA) memetik Kementerian Kesihatan pada Rabu.
Bagaimanapun, pelawat asing masih perlu menunjukkan sijil, tidak melebihi tempoh 72 jam yang mengesahkan mereka tidak dijangkiti virus Covid-19 serta bukti insurans kesihatan bernilai AS$50,000 semasa berada di Kemboja.
Mereka perlu menjalani saringan Covid-19 dan dikuarantin selama 14 hari di kemudahan ditentukan kerajaan.
Kementerian Kesihatan berkata, pesakit terakhir Covid-19 diizin keluar hospital pada 16 Mei, menjadikan negara kini bebas kes.
Mulai Jun, Kemboja akan membuka semula semua muzium selepas tiada kes jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan selama lebih sebulan, kata Menteri Kesihatan, Mam Bunheng.
Pembukaan semula muzium turut dipersetujui Perdana Menteri, Hun Sen.
Untuk mengelakkan risiko jangkitan, Bunheng menasihatkan langkah pencegahan perlu diambil termasuk memeriksa suhu badan pengunjung, menyediakan pensanitasi tangan dan menjaga jarak sosial. – Bernama