AKUN GIMAN
SIBU: Ubah Sibu dan kembalikannya untuk bersama dalam kerajaan diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Itu pesanan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahu penduduk Sibu memberi sokongan penuh kepada calon GPS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.
Pengerusi GPS itu berkata, kerajaan gabungan itu akan mampu mengubah Sibu sama seperti mengubah Sibujaya menjadi kawasan membangun sebelum ini.
“Orang ramai perlu meletakkan Sibu dalam kerajaan. Berikah sokongan penuh untuk memenangi kesemua 31 kerusi pada PRU-15 ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sarawakku Sayang 2022 di Dewan Suarah Sibu, hari ini.
Abang Johari berkata, pelbagai rancangan pembangunan sudah disediakan termasuk, jalan baharu menghubungkan Sibujaya dengan Kong Yit Khim, jalan menghubungkan bulatan Jalan Aman ke Jalan Tunku Abdul Rahman, jalan menghubungkan Jalan Ulu Sungai Merah ke Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Teku Pasai Siong ke kawasan Kemunyang.
Menurutnya, laluan Salim – Jalan Kong Yit Khim akan ditukar kepada dua lorong dan terdapat pembangunan untuk Bukit Assek dan bahagian tengah Sibu.
“Ini bukan sekadar cakap-cakap, tetapi kerajaan GPS akan dapat melaksanakannya. Percayalah, ia akan mengambil masa. Saya mempunyai perunding bertauliah, perunding tempatan dan antarabangsa yang telah melakukan projek di Holland, Denmark dan Singapura. Mereka akan merancang untuk Sibu dan ia akan mengambil masa.
“Tetapi, aspirasi kami untuk Sibu ialah kami mahu Sibu menjadi destinasi pelancongan seperti yang berlaku kepada Amsterdam di Belanda. Ia akan memerlukan dana yang besar, tetapi dalam satu tempoh masa, kita boleh membangunkan Sibu,” katanya.
Abang Johari berkata, ketika menjadi Menteri Perumahan, beliau melihat visi untuk mentransformasikan Sibujaya dan kini Sibujaya sudah berubah menjadi sebuah bandar yang cergas seperti hari ini.
“Justeru, saya mahukan transformasi yang sama untuk Sibu. Jika saya boleh mengubah Sibujaya, saya pasti, kita sebagai satu pasukan, kita boleh mengubah Sibu sendiri,” katanya.
Katanya, sudah ada angin perubahan untuk Sibu bagi kemajuan positif dan menggesa orang ramai memberi mandat kepada calon GPS Clarence Ting dan Wong Ching Yong untuk mewakili Sarawak di Parlimen.
“Saya yakin masa depan Sarawak dan Sibu akan cerah untuk generasi akan datang,” katanya.
Menurutnya, kerajaan GPS telah mencapai begitu banyak perkara termasuk mendapatkan kembali haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), membina jambatan yang menghubungkan setiap bahagian Sarawak, meningkatkan hasil dan sebagainya.
“GPS bercita-cita membina impian Sarawak untuk rakyat Sarawak dan menjadikan negeri itu sebuah negeri maju menjelang 2030.
“Setakat ini, orang ramai menyedari bahawa Sarawak mempunyai dasar yang baik mengenai tenaga,” katanya.
Pada majlis itu, Abang Johari turut memberi sejumlah RM1.5 juta kepada dua sekolah rendah Cina iaitu SJK(C) Kiew Nang dan SJK(C) Dung Sang.