SHAHRUL QAIZAT
KUCHING: “Apa yang milik kita, kita harus dapatkan balik”.
Itu kata Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew ketika mengulas mengenai Manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Katanya, manifesto itu antara lain akan terus memperjuangkan hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) demi mengutamakan keperluan rakyat Sarawak.
“Manifesto GPS ini sangat komprehensif dan banyak perkara yang telah dan akan dilakukan oleh GPS bagi memastikan Sarawak mencapai negeri maju menjelang 2030.
“Ia sangat penting bagi mendapatkan semula hak milik Sarawak yang terhakis dalam MA63 dan IGC.
” Apa yang sepatutnya milik kita, kita mIesti dapatkannya kembali,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Manifesto GPS untuk PRU-15 di sini malam tadi.
Sebastian menegaskan bahawa setiap rakyat Sarawak mesti mendahulukan Sarawak dan menerapkan semangat ‘Utamakan Sarawak’ di dalam diri masing-masing.
“Sarawak mesti diutamakan, tiada orang yang akan perjuangkan dan membantu Sarawak selain diri kita sendiri. Kita tidak boleh harapkan orang lain untuk memperjuangkan kepentingan Sarawak dan saya harap semua akan sentiasa mengingati perkara ini,”katanya.
SUPP adalah antara empat parti komponen dalam GPS.