YANGON: Jumlah kematian akibat Taufan Yagi di Myanmar meningkat kepada 74 orang, lapor media tempatan hari ini.
Banjir dan tanah runtuh mengorbankan hampir 350 orang di Myanmar, Vietnam, Laos dan Thailand selepas Taufan Yagi melanda kawasan terbabit pada hujung minggu lalu, menurut angka rasmi.
Menurut Global New Light of Myanmar, banjir di negara berkenaan setakat ini menyebabkan 74 kematian dengan 89 orang lagi masih hilang.
Laporan itu turut memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan, sambil menyatakan bahawa banjir itu merosakkan lebih 65,000 rumah dan lima empangan.
Tragedi itu turut menambah penderitaan pada negara yang dilanda perang sejak tentera mengambil alih pada 2021, menyebabkan lebih 2.7 juta orang kehilangan tempat tinggal akibat konflik.
Bencana alam yang lebih buruk berbanding kebiasaan kali ini turut mendorong ketua junta Myanmar membuat permintaan yang jarang dilakukan, meminta bantuan asing bagi menangani banjir, lapor media kerajaan pada Sabtu.
Setakat ini, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (UNOCHA) di Myanmar dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) memberitahu AFP mereka tidak dapat mengulas permintaan junta itu.
Hujan monsun lebat melanda Asia Tenggara setiap tahun, tetapi kesan perubahan iklim buatan manusia menyebabkan corak cuaca lebih melampau sehingga mengakibatkan banjir besar yang meningkatkan risiko kemusnahan.
Perubahan iklim menyebabkan taufan terbentuk lebih dekat dengan pantai, bertambah pantas dan berada lebih lama di darat, menurut satu kajian yang diterbitkan pada Julai.
Menurut angka yang dikeluarkan oleh junta kelmarin, jumlah kematian sudah mencapai 33 mangsa dengan lebih daripada 235,000 orang dipindahkan.
Sebelum ini, dilaporkan berlaku tanah runtuh di kawasan berbukit, dengan kerosakan pada jalan raya dan jambatan serta gangguan talian telefon serta internet menyebabkan pengumpulan maklumat menjadi sukar.
Sungai Sittaung dan Bago yang mengalir melalui tengah dan selatan Myanmar, masih berada pada paras berbahaya hari ini, walaupun paras air dijangka turun dalam beberapa hari akan datang.
Pihak berkuasa di Myanmar turut membuka 82 kem bantuan bagi menempatkan mangsa yang dipindahkan.
Pejabat cuaca Thailand hari ini memberi amaran mengenai hujan lebat yang berterusan di kawasan sepanjang sungai Mekong. – AFP